KKM dan MOF tubuh jawatankuasa bersama tangani kos penjagaan kesihatan

Iklan
Dr Dzulkefly.

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bertujuan menangani isu peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan yang semakin membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa tersebut juga antara lain bagi menyelaras pelbagai inisiatif strategik yang lebih inklusif dan mampan dalam menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan di hospital dan klinik swasta di seluruh negara.

"Saya bersama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama JBMKKS, pada Selasa," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Beliau berkata, jawatankuasa itu diwujudkan bagi menangani isu inflasi perubatan dan bebanan kos rawatan secara menyeluruh, dengan pendekatan berteraskan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).

"Antara fokus utama termasuk pelaksanaan kerangka strategik RESET, penyusunan semula sistem Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) serta pengenalan pembayaran berasaskan Diagnosis Related Groups (DRG) secara berfasa," ujarnya.

Iklan

Untuk rekod, JBMKKS dibina atas inisiatif terdahulu termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) oleh Bank Negara Malaysia iaitu satu langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan pada tahun 2024 hingga 2026 serta kerangka RESET.

RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula MHIT, meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif, dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.

RESET telah menerima sokongan meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri utama sebagai kerangka strategik menangani kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.

Dzulkefly menjelaskan, kerajaan juga memberi perhatian kepada aspek ketelusan harga, peluasan perkhidmatan kesihatan mampu milik, serta pengukuhan penjagaan primer dan kesinambungan rawatan.

Jelasnya lagi usaha itu memerlukan iltizam politik yang kukuh serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, termasuk penyedia, pembayar dan pengguna perkhidmatan kesihatan.

"Kita tidak boleh berdiam diri. Kos yang meningkat menuntut penyelesaian yang berani, terancang dan inklusif.

"Inisiatif ini adalah langkah penting untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan sistem kesihatan negara kekal adil serta mampan untuk generasi akan datang," katanya.