PASIR GUDANG – Tiga lokasi masih berasap walaupun kebakaran di Taman Perindustrian Kota Puteri telah berjaya dipadamkan pada Isnin, susulan api melibatkan bahan mudah terbakar seperti minyak terpakai.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, kebakaran membabitkan 10 stor terbiar yang antaranya menjalankan aktiviti kitar semula seperti pengumpulan minyak sawit dan minyak pelincir terpakai.
“Banyak tong besar berisi minyak ditemui di lokasi, menyebabkan kebakaran menjadi besar dan sukar dikawal.
“Ketika operasi memadam api, sejumlah besar air digunakan. Air ini bercampur dengan sisa minyak lalu mengalir ke longkang berhampiran dan sebahagiannya masuk ke dalam sungai,” katanya dalam muat naik di Facebook pada Selasa.
Menurutnya, tindakan segera diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan memasang alat penyekat serta span penyerap minyak bagi mengurangkan kesan pencemaran.
"Datuk Bandar Johor Bahru telah mengarahkan pihak kilang membersihkan sisa minyak hari ini, manakala MBJB dan SWCorp digerakkan untuk kerja-kerja pembersihan saliran tercemar.
“JAS akan terus memantau dan menilai tahap pencemaran, dan kerja-kerja pembersihan akan diperluaskan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.
Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak tiga kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Kota Puteri.