Pekerjaan berisiko tinggi, ramai petugas media belum mencarum

Iklan
Razif (dua dari kiri) menerima kunjungan PERKESO sempena Ziarah Media Perak pada Selasa.

BATU GAJAH – Pengamal media diingatkan agar tidak memandang ringan terhadap keperluan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), khususnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Ketua Cawangan Penjenamaan, Perhubungan Media dan Editorial PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kerjaya kewartawanan tergolong antara bidang berisiko tinggi mendapat kecederaan dan kemalangan ketika bertugas di lapangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui SKSPS, golongan bekerja sendiri termasuk wartawan bebas dan jurugambar layak menerima pelbagai faedah termasuk cuti sakit bergaji, elaun hilang upaya kekal dan pencen penakat kepada waris sekiranya berlaku kematian.

“Petugas media bukan hanya duduk di pejabat. Mereka bekerja siang dan malam, di atas jalan raya, stadium dan lokasi liputan yang pelbagai. Semua itu membawa risiko tinggi.

Iklan

“Pemantauan kami dalam tempoh beberapa tahun ini pula, boleh dikatakan hampir setiap minggu kami menyantuni golongan media yang rata-ratanya memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Ziarah Media Perak ke kediaman wartawan sambilan Bernama, Razif Rosli, 41, yang mengalami kecederaan meniskus lutut kanan serta masalah buah pinggang di Taman Metro Pengkalan di sini pada Selasa.

Iklan

Program sama turut menyantuni jurugambar The China Press, Wong Jin Sum, 53, yang mengalami strok ringan serta wartawan Malaysian Nanban, S Balakrishnan, 64, yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi di kediaman masing-masing.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Tengku Khalidah berkata, berdasarkan pemantauan, masih terdapat ramai petugas media dalam kalangan wartawan sambilan, bebas dan yang telah bersara wajib tidak lagi dilindungi PERKESO apabila mereka tidak mempunyai majikan tetap.

“Bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun atau bekerja sendiri, kami galakkan mencarum melalui SKSPS kerana skim ini tiada had umur dan menyediakan perlindungan menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program ziarah menjadi platform dalam menyampaikan manfaat SKSPS.

“Melalui program ini, kami bukan sahaja menyantuni tetapi juga menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.

Sementara itu, Razif berharap program sama dapat diperluaskan bagi memberi lebih kefahaman kepada pengamal media yang berdepan masalah kesihatan yang sama.

“Buat masa ini, penyakit di bahagian kaki kanan saya sudah beransur sembuh, namun masih memerlukan rawatan daripada doktor untuk tindakan penyembuhan,” kata bapa dua anak itu.

Bagi Jin Sum pula, kunjungan itu memberinya alternatif baharu untuk menjalani perkhidmatan fisioterapi yang disediakan di bawah skim PERKESO.

“Sebelum ini saya tidak tahu. Selama setahun saya buat rawatan fisioterapi di hospital kerajaan, sebulan sekali kerana terpaksa menunggu giliran,” katanya.