Bolehkah anak luar nikah tuntut harta pusaka

Iklan

Soalan: Saya anak tunggal. Ayah saya baru meninggal dunia beberapa bulan lalu. Baru-baru ini, saya bersama ibu telah pulang ke kampung arwah ayah untuk berbincang berkenaan urusan harta pusaka arwah.

Saya amat terkejut apabila mengetahui bahawa saya ini sebenarnya anak luar nikah dan tidak layak mewarisi harta pusaka arwah ayah. Saya amat sedih dan keliru.

Iklan
Iklan

Betulkah saya tidak layak menuntut harta pusaka arwah ayah saya?

Jawapan:

Iklan

Bukan mudah untuk menerima hakikat bahawa selama ini keluarga anda menyimpan rahsia besar tentang status sebenar anda yang didakwa merupakan anak luar nikah, yang mana perkara ini terbongkar setelah ayah anda meninggal dunia.

Dalam situasi getir sebegini, anda bukan sahaja sedang diuji dengan kesedihan akibat kehilangan insan tersayang, malah turut berdepan dengan kejutan emosi akibat penafian hak anda sebagai salah seorang waris pusaka arwah ayah anda.

Iklan

Dakwaan bahawa seseorang itu ialah anak luar nikah tidak boleh disahkan berdasarkan khabar angin atau perbualan keluarga. Sebaliknya, status nasab ditentukan berdasarkan hukum syarak dan jika berlaku pertikaian, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan.

Persoalannya, benarkah anak tak sah taraf tidak berhak terhadap harta pusaka bapanya menurut hukum faraid?

Definisi nasab ialah pertalian keturunan yang diiktiraf oleh hukum syarak dan menjadi asas bagi menentukan wali, tuntutan nafkah dan isu pewarisan harta pusaka. Sebagai contoh, seorang anak hanya dinasabkan kepada seorang lelaki jika dia lahir dalam perkahwinan yang sah atau memenuhi syarat pensabitan nasab yang ditetapkan oleh syarak. Jika kelahiran berlaku di luar perkahwinan yang sah dan tidak memenuhi syarat tersebut, maka anak itu hanya dinasabkan kepada ibunya dan keluarga sebelah ibu.

Kedudukan nasab ini secara langsung akan memberi kesan dalam pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid. Masyarakat kita sering terkeliru dengan isu berkaitan nasab dan mereka beranggapan bahawa dakwaan yang dibuat secara lisan oleh pihak keluarga sudah memadai untuk menafikan hak seseorang. Hakikatnya, penentuan status nasab bukan semata-mata berdasarkan dakwaan lisan, sebaliknya bergantung kepada kedudukan status pernikahan, tempoh kelahiran anak serta hukum syarak yang terpakai.

Sekiranya berlaku sebarang pertikaian, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status nasab bagi individu tersebut. Kebiasaannya, isu pertikaian berhubung taraf anak hanya akan timbul selepas kematian ahli keluarga sewaktu waris-waris duduk berbincang soal pengurusan dan pengagihan harta pusaka.

Hukum faraid merupakan kaedah pembahagian harta pusaka umat Islam yang telah ditetapkan secara jelas di dalam al-Quran, khususnya dalam Surah An-Nisa, yang digunakan untuk membahagikan harta pusaka selepas seseorang itu meninggal dunia. Pembahagian pusaka dibuat berdasarkan hubungan yang diiktiraf oleh hukum syarak seperti hubungan nasab (keturunan yang sah), perkahwinan dan wala’. Pelaksanaan faraid di Malaysia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi menentukan waris yang layak serta kadar pecahan bahagian harta yang diterima oleh setiap waris.

Konflik pusaka sering tercetus apabila melibatkan isu hak pewarisan pusaka anak tak sah taraf yang dinafikan hak untuk mewarisi harta pusaka bapanya berdasarkan hukum faraid. Jika benar anak ini tidak sah dinasabkan kepada si mati, maka beliau tidak mewarisi melalui faraid. Namun, ini tidak bermakna tiada langsung ruang untuk mendapatkan harta. Sebenarnya, isu ini boleh diatasi sekiranya si ayah lebih cakna tentang ilmu pewarisan dan membuat perancangan harta semasa beliau masih hidup.

Perancangan melalui instrumen pewarisan seperti hibah dan wasiat merupakan solusi terbaik bagi mengelakkan konflik keluarga serta menjaga kepentingan waris yang berisiko seperti anak tak sah taraf yang tidak layak mewarisi bahagian faraid sebelah ayahnya.

Pemberian harta secara hibah merupakan solusi terbaik bagi memelihara hak anak tak sah taraf untuk menerima harta tanpa dinafikan oleh waris-waris yang lain. Hibah bermaksud hadiah dan merupakan kaedah pemberian harta secara sukarela yang dibuat semasa pemilik harta masih hidup.

Hibah terbahagi kepada dua bahagian iaitu hibah mutlak (pindah milik harta berlaku semasa hayat pemilik) dan hibah bersyarat (pindah milik berlaku setelah pemilik meninggal dunia). Menerusi hibah, pemilik harta berhak memberikan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dihajati tanpa sebarang had atau nilai harta. Jika si ayah mendalami ilmu pewarisan dan mengetahui bahawa anaknya tiada hak faraid terhadap hartanya, beliau sepatutnya lebih proaktif dengan menghibahkan sebahagian atau keseluruhan hartanya semasa beliau masih hidup bagi menjamin kebajikan si anak. Harta yang dihibahkan secara sempurna dan mematuhi hukum syarak tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Seperti yang kita sedia maklum, Islam membenarkan kita mewasiatkan sehingga satu pertiga (1/3) daripada harta kita kepada sesiapa sahaja dalam kalangan bukan waris untuk menerima harta tersebut. Berdasarkan situasi anda, sekiranya arwah ayah ada menghibahkan sebahagian hartanya kepada anda melalui instrumen hibah atau wasiat yang sah, maka harta tersebut akan menjadi milik anda sepenuhnya tanpa mengambil kira status anda sebagai anak tak sah taraf.

Sekiranya arwah ayah anda tidak membuat sebarang wasiat atau hibah harta kepada anda, maka anda tidak layak menuntut sebarang harta pusaka arwah. Walau bagaimanapun, waris-waris yang lain masih boleh menggunakan budi bicara mereka untuk berkongsi sebahagian daripada harta pusaka yang diterima. Setelah pembahagian harta secara faraid selesai, waris yang berhak boleh menyerahkan sebahagian daripada harta pusaka yang diterima secara sukarela kepada anda. Tindakan ini bukan satu kewajipan dari sudut hukum, tetapi merupakan jalan muafakat bagi menjaga keharmonian keluarga dan kebajikan waris-waris yang terlibat.

Realitinya, pertikaian pusaka berlaku kerana kegagalan si mati untuk merancang harta semasa hidup dan kurangnya kefahaman terhadap ilmu pewarisan yang patuh syariah. Konflik perebutan harta pusaka selalunya tercetus setelah seseorang itu meninggal dunia tanpa membuat sebarang perancangan harta seperti tiada lantikan pentadbir (wasi), tiada dokumen hibah dan tiada wasiat yang ditinggalkan. Justeru, pendedahan berhubung ilmu pewarisan, hukum nasab dan hukum faraid wajar diperkasakan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat kita. Perancangan harta bukan hanya untuk orang kaya atau mereka yang mempunyai aset berjuta-juta. Ia adalah tanggungjawab setiap individu yang mempunyai tanggungan, terutamanya apabila melibatkan struktur keluarga yang kompleks. Dengan perancangan yang betul, kebajikan waris dan keturunan kita akan terjamin.

Kesimpulannya, jika seseorang itu terbukti dari sudut hukum syarak merupakan anak luar nikah, maka dia tidak berhak menuntut harta pusaka arwah ayahnya melalui faraid. Namun, keadaan ini bukanlah satu bentuk hukuman terhadap anak tersebut, sebaliknya merupakan satu ketetapan hukum berkaitan nasab. Seorang ayah yang bertanggungjawab boleh menjamin kebajikan anak-anaknya dengan membuat perancangan harta menerusi instrumen hibah semasa beliau masih hidup.

*Dr. Noraini Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd