KUALA LUMPUR - Sebuah kereta mewah jenis Porsche milik seorang selebriti antara 101 kenderaan bernilai tinggi yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak awal Jun lalu.
Kenderaan tersebut disita kerana dipercayai Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 101 kenderaan mewah termasuk Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530e, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz yang terlibat dalam pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah (CDL).
“Selain itu, turut dikesan ialah penggunaan nombor pendaftaran palsu, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem serta penggunaan ‘trade plate’ palsu,” katanya dalam sidang akhbar di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa.
Beliau berkata, Ops Luxury dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilikan dan penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Semua kenderaan tersebut kini ditahan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan lanjut dan telah disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan Ops Luxury memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
“Pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah,” katanya.
Aedy Fadly turut menyeru agar pemilik kenderaan lebih bertanggungjawab dengan memastikan dokumen kenderaan dan lesen memandu sentiasa diperbaharui serta sah untuk digunakan.
“Orang awam juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my dengan menyertakan butiran aduan lengkap.
“JPJ akan terus melaksanakan Ops Luxury secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya, demi menjamin keselamatan pengguna dan integriti sistem pengangkutan negara,” ujarnya.