KOTA KINABALU - Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan tindakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat laporan polis berhubung insiden demonstrasi yang berlaku baru-baru ini sebagai terlalu lewat.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sepatutnya Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor atau wakilnya bertindak lebih awal dengan membuat laporan bagi mencegah demonstrasi atau perhimpunan tersebut daripada berlaku di tengah bandar raya.
"Pihak G57 telah beberapa kali membantah perhimpunan ini sambil menjangkakan kekacauan akan berlaku disebabkan pemimpin dan ahli-ahli Parti Warisan Sabah turut membantu demonstrasi ini secara langsung. Malangnya, nasihat yang diutarakan telah bakul sampahkan.
"Budaya ganas ini sama sekali tidak boleh diterima di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyatakan agar pelajar terbabit tidak dibuang universiti, namun undang-undang tetap perlu diutamakan.
"G57 berharap agar kesemua pelajar peserta demonstrasi 'Gempur Rasuah 2.0' anjuran kumpulan kecil Suara Mahasiswa UMS dibuang dari UMS kerana secara jelas telah mencemarkan nama baik universiti itu.
"Tindakan biadap mereka jika dibiarkan boleh mendatangkan padah kepada negeri Sabah, kerana di masa akan datang perkara sama akan berulang dengan alasan kononnya mendapat sokongan Perdana Menteri.
"Harus diingat insiden kekacauan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan membakar potret karikatur pemimpin utama negara mungkin menjadi amalan biasa di Semenanjung Malaysia tetapi sama sekali tidak di negeri Sabah," katanya.
Zulkarnain turut menegaskan bahawa Naib Canselor UMS perlu bertanggungjawab dan melepaskan jawatan susulan insiden tersebut yang disifatkannya memalukan.
"G57 dengan rasa rendah diri juga berharap agar Naib Canselor UMS segera meletakkan jawatan dengan cara terhormat sebagai memikul rasa bertanggungjawab terhadap insiden membakar karikatur wajah Perdana Menteri," katanya.