SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan syarikat penerbangan supaya menyediakan langkah mitigasi kepada penumpang susulan penutupan ruang udara di beberapa negara di Timur Tengah.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa beberapa syarikat penerbangan termasuk Batik Air terpaksa membatalkan penerbangan sejak semalam berikutan situasi tersebut.
“Kami mengesahkan memang terdapat penerbangan yang terjejas, khususnya bagi laluan ke Timur Tengah.
“Justeru, syarikat penerbangan yang terlibat perlu mengambil langkah mitigasi termasuk menyediakan penginapan kepada penumpang terjejas sementara menunggu ruang udara dibuka semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Expo Pengangkutan Asia 2025 di sini pada Selasa.
Menurut Anthony Loke, beliau turut dimaklumkan mengenai insiden penerbangan Batik Air ke Dubai yang terpaksa berpatah balik ketika berada di Lautan Hindi susulan penutupan ruang udara tersebut.
“Apabila ruang udara di negara tertentu ditutup, syarikat penerbangan tidak dibenarkan melaluinya. Jadi mereka terpaksa berpatah balik atau mengubah laluan,” ujarnya.
Mengulas lanjut,, Anthony Loke berkata, penutupan ruang udara oleh sesebuah negara adalah di luar kawalan dan bukan sahaja menjejaskan penerbangan dari Malaysia, malah turut melibatkan penerbangan dari seluruh dunia yang menggunakan laluan berkenaan.
Beliau memaklumkan bahawa pihak syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang telah menerima Notis kepada Juruterbang (NOTAM) lebih awal sebagai makluman rasmi mengenai penutupan tersebut.
“Apabila NOTAM dikeluarkan, syarikat penerbangan perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk membatalkan penerbangan atau menukar laluan.
“Mereka juga perlu menjalankan penilaian risiko untuk setiap penerbangan sebelum memulakan perjalanan semula,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, penerbangan dari Malaysia ke Eropah seperti Paris dan London kini menggunakan laluan yang berbeza.
“Dalam tempoh dua minggu ini, penerbangan kita telah dilencongkan ke ruang udara Afghanistan dan tidak lagi melalui ruang udara Iran seperti sebelum ini.
“Akibat konflik Iran-Israel, semua penerbangan kita kini mengambil laluan yang lebih jauh ke utara, memasuki ruang udara India dan Afghanistan bagi mengelakkan kawasan yang terjejas,” jelasnya.
Ketegangan yang memuncak akibat konflik Iran-Israel memaksa beberapa negara di Timur Tengah seperti Qatar, Kuwait dan Jeddah menutup ruang udara mereka buat sementara waktu.
Penutupan itu memberi kesan kepada penerbangan yang menggunakan laluan tersebut, sehingga ada yang terpaksa dibatalkan atau mengubah laluan perjalanan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 61 jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) berikutan penutupan ruang udara akibat serangan Iran ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar.
Difahamkan, mereka yang terlibat ditempatkan di hotel berhampiran sementara pihak agensi pelancongan mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat penerbangan dalam tempoh 24 jam.