KPDN lupus 65,000 unit barangan bernilai lebih RM3.5 juta

Iklan
Mohd Zuhairi (tengah) menunjukkan barang rampasan yang dilupuskan pada Selasa.

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melupuskan 65,000 unit barangan termasuk barangan tiruan yang dianggarkan bernilai lebih RM3.5 juta, pada Selasa.

Kesemua barangan tersebut melibatkan rampasan yang dilakukan di gudang dan premis perniagaan sepanjang tahun 2024 sehingga Mei lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pelupusan itu dilaksanakan selepas kes-kes berkenaan selesai menjalani prosiding dan mendapat kebenaran daripada mahkamah.

Menurutnya, kes-kes tersebut melibatkan salinan langgaran, penyelewengan barangan kawalan, perihal dagangan palsu dan pelanggaran hak pengguna.

Iklan

“Barangan yang dilupuskan antaranya melibatkan 41,000 unit peralatan penjagaan diri, aksesori pakaian (4,000 unit), jam tangan (4,370 unit), serta baju, kasut dan sandal sebanyak 11,900 unit.

“Lain-lain barangan termasuk alat ganti kenderaan seperti set penutup motosikal, cermin sisi, minyak pelincir dan peralatan komunikasi yang berjumlah 300 unit.

Iklan

Kesemua barangan tersebut melibatkan rampasan yang dilakukan di gudang dan premis perniagaan sepanjang tahun 2024 sehingga Mei lalu.

“Selain itu, turut dilupuskan ialah mesin pam, flow meter, paip penyambung dan intermediate bulk container (IBC) yang dianggarkan bernilai kurang daripada RM250,000,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pelupusan Eksibit Perdana KPDN Selangor, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebahagian besar barangan tiruan yang dirampas itu dikilangkan secara haram dan sebahagiannya dibawa masuk dari luar negara.

Tambahnya, barangan tiruan tersebut dijual oleh peniaga yang mengambil kesempatan, khususnya di kawasan bandar.

Tegasnya, sebarang maklumat yang diterima oleh KPDN akan diteliti sebelum tindakan serbuan dilakukan.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menjual barangan tiruan supaya berhenti melakukan kesalahan tersebut atau berdepan dengan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara,” ujarnya.