KOTA BHARU - Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) calon sekolah kerajaan bagi negeri Kelantan mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.15 mata, iaitu 3.00 berbanding pencapaian peringkat nasional 2.85.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata, peratus lulus penuh ialah sebanyak 99.64 peratus atau 3,589 calon, berbanding 98.87 peratus atau 40,891 calon di peringkat nasional.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, keputusan berkenaan sekali gus mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.77 peratus.
“Calon STPM negeri Kelantan yang mendapat kelulusan 4P dan 5P pada tahun 2024 ialah 85.29 peratus atau 3,072 calon, berbanding pencapaian peringkat nasional iaitu 76.72 peratus atau 31,729 calon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 peringkat Negeri Kelantan, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa calon yang memperoleh lima prinsipal (5P) pada tahun ini ialah seramai 639 orang, berbanding hanya 146 orang pada tahun sebelumnya.
“Calon yang memperoleh 4P pula meningkat kepada 2,433 orang berbanding 2,314 orang pada 2023, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 119 calon,” katanya.