JOHOR BAHRU - Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri peneraju sektor pertanian negara apabila mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pencapaian itu dilihat menerusi statistik interim Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, sektor tanaman merupakan penyumbang terbesar iaitu RM20.9 bilion, diikuti sub sektor ternakan (RM4.7 bilion), akuakultur (RM1 bilion) dan perikanan (RM6 juta).
“Kejayaan ini membuktikan kekuatan sektor pertanian Johor hasil perancangan teliti serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, agensi pelaksana, pelabur serta pengusaha di lapangan.
“Ini adalah hasil daripada pelaksanaan dasar yang menyeluruh serta kolaborasi strategik yang berjaya membangunkan sektor pertanian negeri dengan lebih mampan dan kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Johor (JSMNJ) Bil. 2/2025 pada Selasa.
Tambah Zahari, selaras dengan penekanan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Kick Off Belanjawan Johor 2026, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan rantaian bekalan makanan.
Menurutnya, usaha berkenaan juga dijangka dapat meningkatkan tahap sosioekonomi kumpulan sasar termasuk petani, penternak dan nelayan.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa kami sedang menjalankan beberapa siri bengkel untuk membincangkan langkah strategik sempena pembangunan Johor di kawasan Zon Ekonomi Selatan Johor (JS-SEZ).
“Fokus utama perbincangan adalah bagaimana kerajaan boleh melindungi golongan yang terlibat dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan agar mereka tidak tersisih daripada arus pembangunan pesat di kawasan tersebut,” jelasnya.
Tambah Zahari, pihaknya juga sedang merangka cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan berhubung kaedah menarik pelabur dalam sektor keterjaminan makanan untuk melabur di Selatan Johor.
Menurutnya, usaha tersebut adalah bagi memastikan sektor pertanian tidak terhenti dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang khususnya di kawasan JS-SEZ.
“Justeru, persiapan perlu dimulakan dari sekarang supaya menjelang 2030 dan seterusnya, apabila kawasan itu pesat membangun... aktiviti ekonomi berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan terus wujud serta berkembang di sini.
“Penekanan turut diberikan kepada penggunaan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT), automasi ladang serta pertanian pintar khususnya di kawasan pembangunan JS-SEZ.
“Kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kelulusan peruntukan khas RM23.4 juta bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi.
“Kerajaan negeri yakin dengan pendekatan bersepadu ini, Johor bukan sahaja mampu mengekalkan status sebagai peneraju pertanian negara, malah berpotensi menjadi pemain utama pasaran eksport serantau dan antarabangsa,” katanya.