Konflik Iran-Israel: Syarikat penerbangan dunia gantung penerbangan ke Timur Tengah

Iklan
Gambar hiasan

KRISIS memuncak antara Iran dan Israel kini memberi kesan kepada laluan udara global apabila syarikat penerbangan utama dunia bertindak menggantung dan mengubah laluan penerbangan Timur Tengah berikutan peningkatan risiko keselamatan.

Ruang udara yang lazimnya sibuk merentasi Iran, Iraq hingga ke Mediterranean kini hampir kosong sejak Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 13 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Ketegangan semakin memuncak selepas Iran membalas dengan melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar pada Isnin.

Ekoran situasi tegang itu, Qatar mengambil langkah drastik menutup ruang udara diikuti Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain sebagai langkah berjaga-jaga.

Iklan

Akibatnya, syarikat penerbangan antarabangsa bertindak membatalkan, menangguh dan mengalihkan penerbangan melalui rantau Teluk, termasuk ke hab penerbangan utama dunia seperti Dubai dan Doha.

Etihad Airways yang berpangkalan di Abu Dhabi mengesahkan telah mengubah laluan beberapa penerbangan pada 23 dan 24 Jun bagi mematuhi sekatan ruang udara.

Iklan

EgyptAir pula menggantung semua penerbangan antara Kaherah dan negara-negara Teluk sehingga keadaan kembali stabil.

Singapore Airlines menyifatkan situasi itu sebagai ‘tidak menentu’ dan telah membatalkan penerbangan ke Dubai hingga Selasa.

Syarikat lain termasuk Air France KLM, Iberia, Finnair dan Air Astana turut menangguhkan penerbangan ke destinasi seperti Doha, Riyadh dan Dubai sejak hujung minggu lalu.

Lapangan terbang utama di Teluk juga mula memberi amaran kepada penumpang mengenai kemungkinan kelewatan, pembatalan dan perubahan laluan penerbangan susulan ruang udara yang semakin terbatas.

Krisis yang berlaku bukan sahaja menjejaskan pergerakan penumpang, malah memberi tekanan besar kepada industri penerbangan global yang sebelum ini bergantung kepada laluan Timur Tengah sebagai nadi utama penghubung antara Asia, Eropah dan Afrika. - Agensi