REALITI bahawa 40 peratus tenaga kerja di Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan persaraan merupakan satu isyarat membimbangkan tentang ketidakseimbangan struktur keselamatan sosial negara.
Statistik ini bukan sekadar angka, sebaliknya menggambarkan nasib jutaan rakyat yang berisiko menjalani usia tua dalam kedaifan, tanpa simpanan, tanpa pencen dan tanpa jaringan perlindungan yang kukuh.
Punca utama kepada masalah ini ialah struktur pasaran buruh yang terlalu bergantung kepada sektor informal.
Golongan bekerja sendiri, peniaga kecil, penghantar makanan dan pekerja gig umumnya tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau mana-mana skim perlindungan sosial secara konsisten.
Tambahan pula kesedaran mengenai kepentingan perlindungan hari tua dalam kalangan golongan ini juga masih rendah.
Situasi ini semakin parah apabila sebahagian besar daripada mereka hanya memperoleh pendapatan harian yang cukup-cukup makan.
Keutamaan mereka adalah untuk kelangsungan hidup sekarang, bukan simpanan masa depan.
Dalam masa sama, terdapat juga majikan dalam sektor formal yang culas mencarum bagi pihak pekerja mereka, menyebabkan hak asas pekerja untuk perlindungan persaraan terabai.
Penyelesaian kepada isu ini menuntut pendekatan menyeluruh antaranya memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dengan menjadikan caruman persaraan sebagai sebahagian komponen wajib dalam sebarang bentuk pekerjaan termasuk sektor gig.
Perkara ini boleh dilakukan melalui dasar mikro yang memudahkan caruman fleksibel dan insentif padanan caruman bagi golongan berpendapatan rendah. Selain itu, penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mencarum juga perlu diperketatkan.
Hukuman lebih berat harus dikenakan terhadap mana-mana entiti yang sengaja mengelak tanggungjawab.
Dalam masa yang sama aspek pendidikan kewangan dan kesedaran harus diperluas, khususnya kepada golongan muda dan pekerja bebas.
Perlindungan persaraan bukan soal pilihan, tetapi satu keperluan asas negara sejahtera.
Kegagalan melindungi tenaga kerja hari ini akan mencipta generasi warga emas miskin esok hari dan ia merupakan suatu krisis yang jauh lebih mahal untuk ditanggung negara.