SHAH ALAM – Pengintipan digital melalui tag lokasi dan media sosial antara taktik penjenayah pedofilia mencari kanak-kanak untuk dijadikan mangsa seksual.
Bukan itu sahaja, suspek juga akan menyasarkan kanak-kanak rentan seperti yang tinggal bersendirian, menghadapi masalah keluarga atau kurang pengawasan.
Malah, platform media sosial atau aplikasi mesej akan ‘digunakan’ sebaiknya oleh pelaku untuk mendekati kanak-kanak ini hingga terbina kepercayaan serta hubungan sebelum terjerumus dengan perbualan seksual.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bagi tempoh tahun 2021 hingga Mei lalu, sebanyak 276 kes berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) direkodkan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, statistik kes bagi kandungan CSAM secara dalam talian mencatatkan 170 kes.
“Modus operandi suspek antaranya grooming dalam talian iaitu menggunakan platform media sosial, permainan dalam talian atau aplikasi mesej untuk mendekati kanak-kanak.
“Suspek akan cuba membina kepercayaan dengan perhatian emosi, berpura-pura menjadi rakan sebaya, memberi pujian, hadiah maya (tambah nilai permainan dalam talian).
“Apabila kepercayaan sudah wujud, suspek akan menggalakkan perbualan seksual secara berperingkat, sebelum meminta gambar atau video mangsa yang berunsur seksual secara terang-terangan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Siti Kamsiah berkata, pelaku juga bergerak dalam komuniti tertutup termasuklah menggunakan forum gelap (dark web) atau komuniti end-to-end encrypted.
Katanya, penyebaran bahan CSAM menjadi ‘tiket’ untuk memasuki kumpulan tertutup berkenaan.
Beliau menjelaskan, CSAM didefinisikan di bawah Seksyen 4(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (pindaan 2023).
“Iaitu bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, apa-apa gambaran yang keseluruhannya atau sebahagiannya sama ada dalam bentuk visual, audio atau bertulis atau gabungan bentuk visual, audio atau bertulis melalui apa-apa cara termasuk tetapi tidak terhad kepada cara elektronik, mekanikal, digital, optik atau magnetik atau dihasilkan secara manual atau gabungan apa-apa cara,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam kes seksual kanak-kanak, banyak elemen akan diteliti termasuklah merakam gambar atau video serta menyebarkannya.
“Dalam satu-satu kejadian yang dilaporkan itu boleh menjadi banyak kesalahan.
“Contohnya bagi kes rogol. Mangsa akan buat laporan hanya selepas kejadian itu. Oleh itu kes akan diklasifikasikan sebagai rogol, namun jika semasa rakaman percakapan mangsa mendedahkan suspek ada merakam gambar berunsur seksual mangsa dan sebarkan, bermakna wujud kesalahan berkaitan CSAM juga dan ia akan masuk dalam pertuduhan di mahkamah.
“Sebab itulah statistik kes ini jumlahnya nampak kecil kalau dilihat kertas siasatan yang dibuka di bawah kesalahan CSAM semata-semata. Kerana kebanyakan mangsa hanya buat laporan hanya setelah kesalahan yang melibatkan kontak fizikal berlaku” ujarnya.
Jejak pelaku
Tegas Siti Kamsiah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berupaya untuk menjejaki pelaku yang membuat perkongsian bahan CSAM secara dalam talian.
Ujarnya, menghasilkan, memiliki, memuat naik, memuat turun, menyebar atau menyimpan apa-apa bentuk bahan CSAM adalah satu kesalahan jenayah yang berat di Malaysia dan akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi.
“Ibu bapa diingatkan agar sentiasa pantau aktiviti dalam talian anak-anak, termasuk aplikasi permainan, media sosial dan mesej.
“Elakkan kanak-kanak berkongsi gambar atau maklumat peribadi dalam talian, walaupun kepada rakan sebaya.
“Didik anak tentang sempadan tubuh (body boundaries) dan pentingnya melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat umum dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada pihak polis jika menemui bahan eksploitasi seksual kanak-kanak atau menerima sebarang kandungan mencurigakan.
“Gunakan saluran aduan rasmi mana-mana balai polis berhampiran atau talian seperti 999.
“Untuk maklumat lanjut atau untuk menyertai aktiviti pendidikan dan pencegahan dalam isu ini, orang awam digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi PDRM di media sosial serta agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan menghadiri program kesedaran komuniti di peringkat negeri dan daerah,” katanya.
INFO
Statistik kesalahan berkaitan bahan penganiayaan Seksual Kanak-kanak
Tahun 2021 – 44 kes
Tahun 2022 – 28 kes
Tahun 2023 – 67 kes
Tahun 2024 – 68 kes
Tahun 2025 (Jan-Mei) – 69 kes
JUMLAH : 276 kes
Statistik jenayah dalam talian kandungan CSAM
Tahun 2021 – 40 kes
Tahun 2022 – 28 kes
Tahun 2023 – 57 kes
Tahun 2024 – 25 kes
Tahun 2025 (Jan-Mei) – 20 kes
JUMLAH : 170 kes
Laporan media:
i. 19 Jun 2025
KUALA LUMPUR - Kegiatan durjana seorang penuntut sebuah universiti yang memiliki 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta bahan lucah dewasa dalam peranti miliknya terbongkar apabila dia ditahan dalam Op Pedo baru-baru ini.
Lebih mengejutkan, perbuatan terkutuk itu turut dihasilkan sendiri oleh suspek berusia 20 tahun, melibatkan dua mangsa kanak-kanak tempatan.
ii. 24 Disember 2024
KUALA LUMPUR - Seramai 13 lelaki ditahan secara berasingan kerana disyaki menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa dalam Op Pedo di enam buah negeri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
iii. 15 Disember 2022
KUALA LUMPUR - Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki pemangsa seks yang menyasarkan kanak-kanak dalam satu serbuan di sekitar Klang.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
iv. 22 September 2022
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang penuntut antarabangsa kerana disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pegawai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).