Bakar karikatur PM tidak cerminkan budaya demokrasi matang - Bekas KP SPRM

Iklan
Dzulkifli

SHAH ALAM – Tindakan sekumpulan mahasiswa membakar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan ‘Gempur Rasuah Sabah 2.0’ baru-baru ini disifatkan sebagai melampau dan tidak mencerminkan budaya demokrasi yang matang.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, perbuatan tersebut tidak sepatutnya dilakukan walau atas apa jua alasan.

Iklan
Iklan

Dzulkifli turut menyatakan kekecewaan dan mengecam tindakan penunjuk perasaan itu yang disifatkan sebagai tidak menghormati pemimpin negara.

“Perjuangan melawan rasuah sepatutnya membina keinsafan dan kesedaran, bukan dicemari tindakan yang merosakkan maksud serta nilai perjuangan itu sendiri.

Iklan

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan tadbir urus yang bersih, kita mesti tegas melawan kebatilan, tetapi dengan cara yang bermaruah dan beradab,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, tindakan ekstrem seperti itu hanya mencemarkan makna perjuangan serta memberi alasan kepada pihak berkuasa untuk menyekat suara rakyat yang sah.

Iklan

Menurut Dzulkifli, beliau berkongsi pandangan yang sama dengan kebanyakan rakyat Malaysia, khususnya dalam isu pengendalian kes rasuah berprofil tinggi, termasuk melibatkan tokoh politik dari Sabah.

“Kekecewaan rakyat, terutamanya anak muda, terhadap retorik anti-rasuah yang tidak disusuli dengan tindakan tegas dan telus oleh institusi berkaitan adalah sesuatu yang sah dan wajar difahami.

“Namun kita menuntut perubahan sistemik, bukan sekadar sensasi jalanan. Bakar semangat rakyat untuk melawan rasuah, bukan bakar karikatur pemimpin,” katanya.