Peniaga makanan berputih mata terima wang palsu RM100

Iklan
Salah satu wang palsu diterima di premis minuman seperti tular di media sosial.

TAMPIN – Dua peniaga berputih mata selepas masing-masing menerima wang kertas palsu RM100 daripada pelanggan yang berurusan di premis mereka di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pada Isnin daripada dua wanita, iaitu seorang pekerja kedai minuman dan seorang pemilik gerai makanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua mangsa hanya menyedari wang berkenaan tidak tulen ketika membuat kiraan hasil jualan harian selepas selesai berniaga.

“Mangsa telah berurusan dengan ramai pelanggan yang membeli makanan dan minuman di premis masing-masing. Wang palsu tersebut hanya disedari selepas mereka mengira pendapatan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, jarak antara dua kedai berkenaan adalah sekitar 500 meter dan siasatan awal mendapati perbuatan itu dilakukan oleh individu yang berlainan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu sebagai wang tulen, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sehubungan itu, orang ramai khususnya para peniaga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan sentiasa memeriksa ketulenan wang yang diterima dalam setiap urus niaga bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.