Ibu kanak-kanak mangsa dera buat pengecaman mayat

Iklan
Ibu mangsa (dua, kiri) warga Indonesia selesai membuat pengecaman mayat anaknya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, pada Isnin.

MELAKA – Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang maut dipercayai akibat didera dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pada Isnin untuk proses pengecaman mayat.

Wanita tersebut, dipercayai warga Indonesia, dilihat memakai baju berwarna hitam sambil memegang fail yang mengandungi dokumen peribadi sebelum meninggalkan pekarangan Hospital Melaka dengan menaiki kenderaan pegawai penyiasat kira-kira jam 4.12 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang doktor di sebuah hospital swasta yang memaklumkan seorang kanak-kanak telah dihantar oleh bapa tirinya ke pusat perubatan tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Hasil pemeriksaan mendapati pesakit mengalami patah kaki dan terdapat kesan lebam di bahagian kepala serta badan yang disyaki akibat didera.

Iklan

"Pesakit kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 9.45 pagi. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Difahamkan, suspek yang merupakan warga tempatan telah ditahan polis selepas menghantar mangsa ke hospital swasta di Banda Hilir.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka mendapati tiada waris atau ahli keluarga lain kelihatan menunggu, dan proses bedah siasat ke atas mangsa dipercayai akan dilakukan pada awal pagi Selasa.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai akibat didera oleh bapa tiri.

Menurut sumber, insiden yang menimpa kanak-kanak malang itu terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta sekitar jam 9.45 pagi.

“Difahamkan pihak hospital memaklumkan terdapat kesan yang disyaki akibat penderaan selepas mangsa dihantar oleh bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan berkenaan.

“Lebih menyedihkan, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lebam di kepala dan badan,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang berada dalam keadaan parah dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.