BUAT julung kalinya Balai Cerap Negeri Sembilan (BCNS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengambil inisiatif menganjurkan program Kesedaran Astronomi dan Beach Clean Up di PD Wellness, Teluk Kemang, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Penolong Pegawai Kanan BCNS, Muzamir Mazlan berkata, program tersebut dijalankan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap aktiviti cerapan langit di persekitaran pantai terutamanya di daerah Port Dickson.
“Sejumlah 254 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip di sekitar lokasi program bermula seawal 8.30 pagi.
Turut sama hadir memeriahkan program, Penasihat Undang-undang MAINS, Romy Norfidzy Roslan dan Pengarah Jabatan Zakat MAINS, Mahadi Ali.
Menurut Muzamir, aktiviti membersihkan pantai dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sustainability Solution itu dimulai dengan penerangan mengenai sampah.
“Seramai 68 peserta dipecahkan kepada dua kumpulan sebelum mereka masing-masing mengutip sampah di pesisir pantai di PD Wellness itu.
“Mereka kemudian mengumpulkan sampah di satu tempat dan mengasingkannya kepada beberapa kategori bagi memudahkannya untuk dikitar semula atau dilupuskan,” katanya.
“Kesedaran dan penglibatan komuniti dalam menjaga kebersihan pantai dapat meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kelestarian alam sekitar.
“Ia bagi memastikan generasi masa hadapan dapat menikmati keindahan alam semesta yang lebih indah dan tidak tercemar,” jelasnya.
Pihaknya berharap program tersebut dapat mendekatkan masyarakat khususnya golongan muda dengan ilmu astronomi serta menyemai rasa tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.
“Kami juga ingin menunjukkan bahawa sains dan pemeliharaan alam boleh berjalan seiring.
“Alhamdulillah, matlamat program tercapai apabila sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan peserta terlibat secara aktif dalam kedua-dua komponen iaitu cerapan matahari dan aktiviti pembersihan pantai,” katanya.