KEMERDEKAAN bukan sekadar membebaskan sebuah negara daripada penjajahan, sebaliknya ia perlu diisi dengan kekuatan dalaman yang melahirkan rakyat berjiwa merdeka, amanah dan bersedia membantu golongan yang memerlukan.
Pendekatan itu diketengahkan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Fazrul Ismail dalam penghayatan Malaysia #QuranHour menerusi tema ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’ yang berteraskan penghayatan surah al-Balad dan surah al-Muzzammil.
Menurut beliau, kekuatan dalaman setiap individu perlu dibina dengan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, khususnya melalui amalan membaca al-Quran dan bangun beribadah pada waktu malam.
Beliau menjelaskan, surah al-Muzzammil memberikan panduan mengenai pembinaan kekuatan rohani, manakala surah al-Balad pula mengajar manusia bagaimana kekuatan tersebut diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Jelasnya, malam ibarat pusat latihan yang disediakan ALLAH SWT untuk membentuk kekuatan jiwa agar manusia lebih tangkas menghadapi pelbagai cabaran pada waktu siang.
“Pada waktu siang banyak kekusutan boleh berlaku dan banyak perkara perlu kita laksanakan.
“Maka malam menjadi pusat latihan percuma daripada ALLAH SWT supaya kita kuat dan tangkas pada waktu siang untuk membantu orang yang memerlukan,” hurainya.
Golongan perlu dibela
Menurut Ustaz Fazrul, surah al-Balad mengingatkan manusia bahawa nikmat dan kelebihan yang dimiliki bukan untuk dinikmati sendiri, sebaliknya perlu digunakan bagi membantu mereka yang berdepan kesusahan.
Beliau merujuk ayat ke-11 hingga ke-16 surah al-Balad yang menggambarkan aqabah iaitu jalan sukar yang perlu didaki dan ditempuh manusia melalui usaha membebaskan mereka yang tertindas serta membantu golongan yang berada dalam kesusahan.
Antara kelompok yang perlu diberi perhatian ialah mereka yang berdepan masalah ekonomi dan kelaparan.
Katanya, dalam negara yang sudah 69 tahun merdeka, masih terdapat individu dan keluarga yang berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa berkongsi makanan yang sangat terhad untuk seisi keluarga.
Ujarnya, kelompok kedua ialah golongan anak yatim dan kisah kehidupan Rasulullah SAW sebagai seorang anak yatim seharusnya membentuk kesedaran umat Islam untuk melihat anak yatim sebagai amanah dan aset penting masyarakat, bukannya beban.
“Anak yatim boleh diperkotak-katikkan dan dibuli. Sebab itu mereka perlu diperjuangkan. Kita perlu melihat anak yatim sebagai aset penting untuk terus menjadi golongan yang mendapat rahmat ALLAH,” katanya.
Kelompok seterusnya ialah golongan miskin yang hidup dalam keadaan amat daif, termasuk mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal.
Katanya, golongan gelandangan dan mereka yang hidup di jalanan perlu dicari dan dibantu, bukan dibiarkan menunggu untuk datang meraih simpati.
Dua mata, satu lidah, dua pilihan
Ustaz Fazrul turut mengajak masyarakat merenung potensi yang diberikan ALLAH SWT kepada setiap manusia.
Manusia mempunyai pilihan sama ada menggunakan nikmat yang dimiliki untuk diri dan keluarga semata-mata atau memilih jalan sukar yang membawa manfaat kepada orang lain.
“Apabila seseorang pernah melalui kesusahan, kemudian ALLAH memberikan kesenangan, pengalaman itu perlu dijadikan clue daripada ALLAH bahawa dia perlu membantu kelompok yang pernah melalui kesusahan seperti dirinya dahulu.
“Kesusahan yang pernah kita lalui boleh menjadi portfolio untuk kita membantu orang lain dan membina empati,” katanya.
Al-Quran 'reset' minda dan hati
Dalam konteks kehidupan moden, beliau melihat amalan membaca al-Quran setiap hari sebagai penting bagi memastikan minda dan hati sentiasa kembali kepada ALLAH SWT.
“Al-Quran bukan sekadar dibaca seminggu sekali atau sebulan sekali. Ia perlu dibaca setiap hari kerana ia akan memastikan minda dan hati kita ‘reset’ kembali kepada ALLAH,” katanya.