AMESU meterai enam perjanjian serentak, gaji pekerja ladang naik 12 peratus

Iklan
Steven (depan, tengah) menyaksikan pemeteraian enam perjanjian kolektif antara AMESU dan majikan sektor perladangan pada Isnin.

 

 

Iklan
Iklan

SHAH ALAM – Sejarah tercipta apabila enam perjanjian kolektif antara kesatuan sekerja All Malayan Estates Staff Union (AMESU) dan majikan dalam sektor perladangan berjaya dimeterai secara serentak dalam satu majlis berlangsung di sini pada Isnin.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang hadir sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan pekerja sektor perladangan di negara ini.

Iklan

Perjanjian tersebut melibatkan AMESU dengan Malayan Agricultural Producers Association (MAPA), IOI Group of Companies, Dara Lam Soon Sdn Bhd, Arah Kawasan Sdn Bhd, HK Gua Musang Sdn Bhd dan YPJ Plantations Sdn Bhd.

Steven hadir pada majlis menandatangani perjanjian kolektif antara AMESU dan majikan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan pekerja sektor perladangan di negara ini.

Iklan

AMESU yang ditubuhkan pada tahun 1927 dan mewakili lebih 5,000 pekerja merupakan antara kesatuan sekerja tertua di Malaysia manakala MAPA merupakan wakil kepada 93 syarikat perladangan utama negara.

Menurut Setiausaha Agung AMESU, R Jey Kumar, kejayaan memeterai enam perjanjian kolektif secara serentak itu dianggap pencapaian luar biasa dalam sejarah pergerakan pekerja negara kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Melalui perjanjian tersebut, katanya, ahli-ahli AMESU bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 12 peratus bermula 1 Januari 2025.

Beliau menambah, para pekerja juga akan menerima bayaran tunggakan gaji (arrears) antara RM3,000 hingga RM10,000, bergantung kepada gred jawatan, tempoh perkhidmatan serta kadar elaun masing-masing.

"Perjanjian turut menetapkan bahawa pekerja yang dilindungi tidak lagi tertakluk kepada kadar gaji minimum RM1,700 sebulan, sebaliknya akan menerima gaji permulaan minimum baharu sebanyak RM1,800 sebulan, sejajar dengan struktur gaji yang lebih baik di bawah perjanjian ini.

"Selain aspek gaji, pelbagai manfaat tambahan turut diperkenalkan sebagai langkah meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mendorong peningkatan produktiviti dalam sektor perladangan," ujarnya.

Jey Kumar berkata, AMESU turut menzahirkan penghargaan kepada Steven atas kesudian beliau hadir dan menjadi saksi kepada majlis bersejarah berkenaan, yang menurut mereka mencerminkan komitmen serta keseriusan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja.

“AMESU percaya dan yakin KESUMA hari ini berada di landasan yang tepat dalam menyokong agenda pekerja serta memastikan para pekerja negara ini mendapat pampasan kerja yang setimpal dan bermaruah,” ujarnya.