JOHOR BAHRU - Polis Johor merampas dadah bernilai RM6.8 juta serta membuat sitaan berjumlah RM265,615 hasil dua serbuan di dua rumah teres dua tingkat di Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri pada 14 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, serbuan yang dijalankan bermula jam 7.30 malam pada 14 Jun sehingga jam 5 pagi, 15 Jun itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam.
“Dalam kes pertama, polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun serta seorang wanita warga Vietnam berusia 34 tahun.
“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan telah menyewa rumah tersebut sejak April 2023. Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui pelbagai jenis dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.
Tambah Kumar, suspek lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah lagi rumah teres dua tingkat yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi pertama dan disyaki turut digunakan oleh sindiket yang sama.
“Serbuan kedua membawa kepada penahanan seorang lagi wanita warga Vietnam berusia 23 tahun.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah, namun semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Kumar memaklumkan bahawa polis turut merampas 40.6 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.3kg ketamin dan 368 gram ganja daripada kedua-dua lokasi, dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM6.8 juta.
Selain itu, polis turut menyita dua kenderaan, wang tunai RM49,150, wang tunai RM8,835 dan pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM17,600.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk barangan sitaan dianggarkan melebihi RM7.1 juta. Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kedua-dua rumah tersebut sebagai lokasi memproses, membungkus dan menyimpan dadah.
“Kami juga percaya sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk menjual dadah kepada pelanggan mereka. Dadah yang dirampas ini dianggarkan mampu menampung keperluan seramai 146,195 penagih tempatan,” katanya.
Untuk rekod, ketiga-tiga suspek kini direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan, dan polis percaya masih terdapat individu lain yang terlibat dalam sindiket tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.