KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam kegiatan menyeludup masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini giat mempromosikan aktiviti itu di media sosial TikTok.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, berdasarkan risikan, pihaknya percaya kegiatan itu mungkin melibatkan satu sindiket yang sama.
Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai berpecah kepada kumpulan kecil atau kartel dalam melaksanakan aktiviti penyeludupan berkenaan.
“Fokus sindiket (menyeludup PATI) ini adalah di perairan negeri Johor dan Selangor.
“Johor seperti yang kita tahu adalah paling hampir dengan Pulau Karimun dan Pulau Batam di sebelah sana (Indonesia).
“Kalau lihat dua atau tiga tahun lepas, apabila kita perketatkan kawalan di kawasan Selat Melaka, mereka akan masuk melalui kawasan timur. Namun selepas beberapa kejadian bot karam, mereka (sindiket) kembali ke Selat Melaka,” katanya kepada pemberita selepas melawat kapal peronda Mizuho milik Japan Coast Guard (JCG) di Terminal Kapal Persiaran Klang (PKCT) di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki serta Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.
Tambah Mohd Zawawi, iklan berkaitan penyeludupan PATI bukanlah perkara baharu kerana ia lazimnya muncul sebelum dan selepas musim perayaan.
“Selepas musim perayaan, ia akan senyap. Bila tiba musim perayaan, iklan (penyeludupan PATI) tumbuh macam cendawan.
“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi menangani permasalahan ini. ‘Hotspot’ kita sudah dikenal pasti – kawasan yang sering menjadi laluan keluar masuk pendatang juga telah dikenalpasti,” ujarnya.
Tegas beliau, semakan mendapati promosi iklan berkenaan dilakukan melalui platform media sosial dari luar negara dan pihak Maritim Malaysia telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa video memaparkan tawaran membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan laut secara tidak sah.
Pada 13 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan kenyataan tegas Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan lebih agresif, terutamanya dengan meningkatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan di sempadan perairan negara.
Maritim Malaysia juga telah menggerakkan pesawat udara bagi pemantauan serta meningkatkan pengawasan melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan kehadiran bot-bot warga asing.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, sebanyak 68 cubaan penyeludupan PATI berjaya digagalkan melibatkan penahanan 236 individu dari pelbagai negara.