PENAMPANG – Polis sedang menjalankan siasatan dan mengesan seorang suspek yang didakwa terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di kawasan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut kira-kira jam 8 malam pada Sabtu.
“Laporan polis ini juga berkaitan dengan sebuah video berdurasi satu minit 34 saat yang dimuat naik di platform media sosial.
“Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan dan suspek sedang giat dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial.
“Langkah ini penting bagi memastikan siasatan tidak terganggu serta melindungi hak dan privasi mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Kalista Demson di talian 011-33980319,” katanya.