GEORGE TOWN - Seorang ejen insurans berusia 57 tahun mengalami kerugian RM1.49 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian menggunakan aplikasi XGI Horizon.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menerima aduan mangsa yang juga lelaki tempatan itu pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa tertarik menyertai pelaburan tersebut selepas melihat iklan menjanjikan pulangan keuntungan lumayan di Facebook sebelum berhubung dengan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi XGI Horizon dan membuat pindahan wang pertama berjumlah RM9,999 pada 30 Disember lalu.
“Dalam masa singkat, mangsa ditunjukkan keuntungan sebanyak RM18,400 dan terus yakin untuk melabur lebih banyak wang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, mangsa membuat 35 transaksi berjumlah RM1.49 juta ke dalam tujuh akaun bank syarikat berbeza antara 17 Februari hingga 24 April lalu.
"Mangsa bagaimanapun mula curiga apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," ujarnya.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pelaburan, terutama melibatkan platform dalam talian.
“Penyebaran maklumat berhubung modus operandi penipuan ini perlu dipergiatkan agar masyarakat lebih peka dan tidak mudah menjadi mangsa,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang pesara berusia 73 tahun mengalami kerugian sebanyak RM855,001 selepas ditipu sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian melalui platform Gexertmat Exchange.
Hamzah berkata, mangsa yang merupakan bekas akauntan kilang mula terjebak dalam pelaburan itu selepas melihat iklan di Facebook pada awal Mac lalu yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa berhubung dengan seorang wanita tidak dikenali melalui WhatsApp sebelum diarahkan untuk memuat turun aplikasi Gexertmat Exchange dan membuat pelaburan.
“Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan itu kemudiannya melakukan 14 transaksi ke dalam lima akaun bank berasingan milik syarikat berbeza daripada 15 April hingga 11 Jun lalu," katanya.
Tambahnya, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan.
"Susulan daripada itu, mangsa tampil membuat laporan polis pada 21 Jun lalu dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai dinasihati agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum melabur dalam mana-mana skim pelaburan dalam talian," katanya.