Sindiket e-waste, penipuan warga asing tumpas

Iklan
Serbuan pertama di sebuah kawasan perindustrian haram di Pulau Indah, Klang.

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan pelupusan sisa elektronik (e-waste) secara haram di Pulau Indah, Klang serta aktiviti penipuan dalam talian yang beroperasi di kediaman mewah sekitar Kajang dan Kuala Lumpur dalam operasi khas pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula jam 11 pagi itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hasil risikan selama dua minggu dan aduan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan pertama di sebuah kawasan perindustrian haram di Pulau Indah membawa kepada pemeriksaan ke atas 42 individu terdiri daripada 39 warga asing dan tiga warga tempatan.

 

Iklan

"Hasil pemeriksaan, seramai 39 warga asing ditahan iaitu empat lelaki dan 12 wanita warga China serta 27 lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 49 tahun.

Serbuan kedua dijalankan di beberapa kediaman mewah sekitar Kajang dan Kuala Lumpur.

"Mereka ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan atau permit kerja di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Zakaria berkata, serbuan kedua pula dilakukan di beberapa kediaman mewah di Kajang dan Kuala Lumpur yang dikenal pasti menjadi pusat operasi penipuan dalam talian membabitkan warga asing.

"Lapan individu ditahan dalam serbuan itu iaitu empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga China serta seorang lelaki warga Taiwan berusia antara empat hingga 43 tahun.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Kesemua warga asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk siasatan dan tindakan susulan.

"JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas di negara ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin," katanya.