Pesawat B-2 AS dipindah ke Guam di tengah ketegangan Asia Barat

Iklan
Walaupun tiada arahan lanjut dikeluarkan, pemerhati ketenteraan menjangka langkah ini sebagai persiapan strategik, khususnya jika serangan ke atas kemudahan nuklear Iran dilancarkan. Foto Reuters

GUAM - Amerika Syarikat (AS) telah memindahkan pesawat pengebom halimunan B-2 Spirit ke pulau Guam di Pasifik, menurut dua pegawai pertahanan AS, ketika Presiden Donald Trump mempertimbangkan sama ada Washington akan menyertai kempen ketenteraan Israel terhadap Iran.

Langkah ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat, walaupun pegawai AS menegaskan bahawa pemindahan itu belum dikaitkan secara rasmi dengan konflik semasa.

Iklan
Iklan

B-2, yang mampu membawa bom penembus kubu GBU-57 seberat 30,000 paun (kira-kira 13,608 kilogram), dilihat sebagai aset utama sekiranya serangan terhadap kemudahan nuklear Iran seperti Fordow dilancarkan.

Pegawai yang enggan dinamakan itu tidak mendedahkan jumlah pesawat yang dipindahkan atau sama ada senjata khas telah dihantar bersama.

Iklan

Seorang daripada mereka menyatakan bahawa tiada arahan lanjut dikeluarkan untuk menggerakkan pesawat melepasi Guam buat masa ini.

Pemerhati ketenteraan kini memantau kemungkinan B-2 akan dipindahkan ke pangkalan AS-Britain di Diego Garcia, yang terletak lebih hampir dengan Asia Barat dan pernah menjadi lokasi operasi B-2 sebelum ini.

Iklan

Sementara itu, Trump berkata, beliau akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk membuat keputusan muktamad mengenai penglibatan AS dalam konflik tersebut, memberi ruang kepada usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan.

Namun, pemindahan pesawat dan aset ketenteraan lain ke rantau berkenaan menunjukkan Washington sedang bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. - Awani