SANAA - Kumpulan pejuang Houthi yang disokong Iran mengeluarkan amaran keras pada hari Sabtu bahawa mereka akan menyasarkan kapal-kapal tentera dan komersial Amerika Syarikat (AS) di Laut Merah sekiranya Washington menyertai kempen ketenteraan Israel terhadap Iran.
Jurucakap tentera Houthi, Brig. Jen. Yahya Saree, dalam kenyataan yang disiarkan oleh media rasmi kumpulan itu, berkata: “Sekiranya Amerika Syarikat terlibat dalam serangan terhadap Iran bersama rejim Zionis, angkatan bersenjata kami akan menyasarkan kapal dan kapal perang mereka di Laut Merah”.
Ancaman ini muncul meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata antara AS dan Houthi yang dimeterai pada Mei lalu, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak menyerang satu sama lain.
Namun, ketegangan terbaharu ini mencerminkan betapa rapuhnya perjanjian tersebut dalam menghadapi konflik serantau yang semakin memuncak.
Laut Merah merupakan laluan perdagangan penting dunia, dengan kira-kira 10 peratus perdagangan global melalui kawasan itu.
Sebarang gangguan terhadap keselamatan maritim di rantau tersebut boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan kestabilan antarabangsa.
Ketika ini, Presiden AS, Donald Trump masih belum membuat keputusan muktamad sama ada akan menyertai serangan terhadap Iran, walaupun tekanan dari sekutu Israel semakin meningkat.
Penganalisis memberi amaran bahawa sebarang penglibatan langsung AS berisiko mencetuskan konflik berskala lebih besar di Asia Barat. - Awani