GERGASI Bundesliga Jerman, Bayern Munich menghidupkan semula maruah Eropah di pentas Piala Dunia Kelab, biarpun menempuh pertembungan sengit dan penuh emosi menentang Boca Juniors, sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 di Stadium Hard Rock, Miami untuk mara ke pusingan 16 pasukan pada Sabtu.
Disokong lautan penyokong berpakaian biru dan kuning yang mengubah Stadium Hard Rock menjadi ‘Bombonera’ versi Amerika Syarikat, Boca Juniors mempamerkan tentangan hebat, namun, ketahanan Bayern jelas terserlah pada penghujung perlawanan.
Harry Kane terlebih dahulu meletakkan juara Jerman di depan minit ke-18, sebelum Boca menyamakan kedudukan menerusi Miguel Merentiel minit ke-66.
Bagaimanapun, Michael Olise muncul wira dengan jaringan minit ke-86, sekali gus melonjakkan Bayern ke puncak Kumpulan C dengan enam mata, dua mata di hadapan Benfica.
Boca, dengan satu mata, masih berpeluang untuk mara apabila mereka akan menentang pasukan amatur Auckland City dalam perlawanan terakhir kumpulan, manakala Bayern akan berdepan Benfica.
Kemenangan ini menandakan kebangkitan buat pasukan-pasukan Eropah yang berdepan cabaran sukar dalam kejohanan ini, dengan Porto, Paris Saint-Germain, dan Chelsea kesemuanya mengalami kekalahan baru-baru ini.
Dalam babak kedua yang mendebarkan, Boca memaksa Bayern berjuang merebut setiap bola dalam perlawanan yang penuh ketegangan dan asakan.
Dalam suasana hingar-bingar, skuad Jerman memulakan permainan dengan cemerlang dan menyangka mereka telah mendahului apabila sepakan penjuru lencong Olise terus menerjah jaring.
Namun, video bantuan pengadil (VAR) membatalkan gol tersebut setelah mengesan kekasaran terhadap penjaga gol Boca.
Tekanan Bayern akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Harry Kane menyambar bola yang tersasar dan melambungkan rembatan tenang ke sudut bawah gawang, setelah menerima hantaran lintang Konrad Laimer dari sebelah kanan.
Ini merupakan gol pertamanya dalam kejohanan itu selepas gagal mencetak nama dalam kemenangan 10-0 pasukannya ke atas Auckland City.
Beberapa minit kemudian, Serge Gnabry melorongkan bola melintasi gawang, tetapi Kingsley Coman entah bagaimana gagal menyambar dengan mudah.
Manuel Neuer tidak banyak diuji pada separuh masa pertama, meskipun dia terpaksa melakukan dua penyelamatan cemerlang daripada Kevin Zenon ketika Boca enggan menyerah kalah.
Gergasi Argentina itu melakukan tekanan tinggi selepas rehat, menunjukkan semangat juang dan kecekalan tipikal mereka dalam perebutan bola, sekali gus sedikit mengganggu Bayern dengan asakan tanpa henti.
Disemarakkan oleh sorakan memekakkan telinga daripada penyokong yang mengembara, Boca berjaya kembali ke dalam permainan, mencipta beberapa detik cemas di barisan pertahanan Jerman ketika suhu perlawanan meningkat dan terjahan keras berlaku.
Namun Merentiel yang kemudian menerima hantaran di sebelah kanan tenang melepasi Josip Stanisic sebelum melepaskan rembatan kencang melepasi Neuer, menyebabkan penonton bersorak kegembiraan dan seluruh stadium bergegar.
Ketenangan Bayern akhirnya membuahkan hasil apabila Olise melencongkan rembatan ke sudut bawah gawang setelah menerima umpanan daripada Kane enam minit sebelum tamat.