GEORGE TOWN – Lebih 4.8 juta daripada keseluruhan 5.4 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara telah memanfaatkan MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar setakat 1 Jun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pencapaian itu membuktikan kejayaan pelaksanaan program bantuan tersebut dengan kadar penggunaan mencecah 89 peratus hanya dalam tempoh tiga bulan selepas pengkreditan bermula.
Menurutnya, angka itu juga menunjukkan kejayaan SARA dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran di seluruh negara.
“Kerajaan amat berpuas hati dengan kadar penggunaan SARA yang kini mencecah 89 peratus.
"Ini memberi gambaran bahawa rakyat benar-benar memanfaatkan bantuan untuk keperluan asas harian,” katanya.
Hui Ying, yang juga Ahli Parlimen Tanjong, berkata demikian ketika ditemui pada Program SARA anjuran Kementerian Kewangan di Pasar Raya Mydin George Town, di sini, pada Sabtu.
Jelas beliau, di peringkat negeri, Perlis merekodkan kadar penggunaan MyKad tertinggi dalam pembelian barangan SARA iaitu 94 peratus, diikuti Sabah dan Kedah masing-masing 93 peratus, manakala Pulau Pinang mencatat 88 peratus.
"Setakat ini, terdapat kira-kira 293,000 penerima SARA di Pulau Pinang dan jumlah premis berdaftar di negeri ini telah meningkat kepada lebih 190 premis, sekali gus memudahkan penerima membeli barangan keperluan di kawasan masing-masing.
"Bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar di seluruh negara turut meningkat kepada lebih 3,700 premis berbanding hanya 700 pada tahun 2024.
“Peningkatan ini memberi peluang lebih baik kepada rakyat untuk memanfaatkan bantuan dan memastikan tiada penerima yang tertinggal, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying memaklumkan bahawa kadar maksimum bantuan SARA bagi tahun ini telah dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 pada tahun 2024 — peningkatan sebanyak 75 peratus. Baki bantuan bulanan yang tidak digunakan akan dibawa ke bulan berikutnya sehingga 31 Disember 2025.
“Secara keseluruhan, peruntukan untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah dinaikkan kepada RM13 bilion tahun ini, menjadikan ia jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai oleh kerajaan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kemampuan kerajaan untuk menaikkan peruntukan ini adalah hasil reformasi fiskal yang dilaksanakan secara bertanggungjawab.
"Ia sekali gus memberi ruang kepada kerajaan menyediakan perkhidmatan berkualiti untuk rakyat, meliputi aspek perlindungan sosial, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
"Ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 meningkat kepada 5.1 peratus berbanding 3.5 peratus pada 2023, manakala pertumbuhan suku pertama 2025 mencatat 4.4 peratus," katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Madani kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara melalui pengurusan fiskal yang mampan demi masa depan yang lebih sejahtera.