GEORGE TOWN – Seorang pesara kilang berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM733,300 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 66 tahun itu membuat laporan polis selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sejak awal Mac lalu
Menurutnya, kejadian itu bermula selepas mangsa menerima pesanan ringkas daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat pelaburan.
"Wanita tersebut telah menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi setiap modal yang dilaburkan dalam tempoh 20 minit.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi Falcon PE, mendaftar sebagai ahli dan membuat pelaburan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Hamzah, mangsa telah melakukan 25 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM733,300 antara 7 Mac hingga 24 April lalu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan.
"Beliau kemudiannya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Hamzah turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian.
"Masyarakat dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan mana-mana entiti diberi kebenaran menawarkan perkhidmatan pelaburan.
“Orang ramai juga boleh merujuk portal Semak Sebelum Lebur untuk membuat keputusan pelaburan yang bijak dan melindungi diri daripada penipuan. Sebarkan maklumat dan tingkatkan kesedaran agar masyarakat tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya.