Konflik Iran-Israel boleh jejaskan dunia termasuk Malaysia – Khaled

Iklan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Perasmian Tuaian Halia Bentong Muda di Parlimen Kota Tinggi di Kampung Gembut, Tanjung Sedili pada Sabtu. Foto Bernama

KOTA TINGGI – Konflik bersenjata yang semakin memuncak antara Iran dan Israel ketika ini berpotensi untuk merebak menjadi perang dunia sekiranya tidak dibendung segera, sekali gus memberikan kesan besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketegangan yang berlaku bukan sahaja mencetuskan krisis keselamatan serantau, malah boleh menjejaskan rantaian perdagangan antarabangsa secara langsung.

Iklan
Iklan

“Semua negara akan terjejas kerana tentunya harga minyak akan meningkat, bekalan-bekalan akan terputus dan perdagangan bebas dunia akan terganggu.

“Kita tahu negara kita ialah negara dagang, maka akhirnya rakyat juga akan turut terkesan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa kementeriannya sentiasa memantau perkembangan konflik tersebut, terutamanya dari sudut penggunaan teknologi ketenteraan yang boleh dijadikan rujukan dalam memperkukuh sistem pertahanan negara.

Iklan

“Ini sangat penting dalam memastikan kita dapat menyediakan pertahanan negara pada tahap yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan tidak terlibat secara langsung dalam proses membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran susulan situasi keselamatan yang kian meruncing di negara berkenaan.

“Setakat ini tiada penerbangan dibenarkan ke Iran dan bilangan rakyat Malaysia di sana juga tidak ramai.

“Mereka akan dibawa keluar melalui jalan darat ke Turkmenistan sebelum diterbangkan pulang ke tanah air menggunakan pesawat komersial biasa.

“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan terlibat kerana jika kita masuk ke Iran, ia boleh ditafsirkan sebagai bantuan ketenteraan kepada Iran,” jelasnya.

Pada Sabtu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran kini berada di peringkat akhir dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan tersebut, proses evakuasi sedang dilaksanakan dengan kerjasama perwakilan Malaysia di luar negara bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan pulang semua individu terlibat.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa kerajaan telah memulakan pemindahan rakyat Malaysia dari Iran bermula Jumaat lalu susulan peningkatan risiko keselamatan akibat konflik yang semakin meruncing antara kedua-dua negara.