Israel lancar serangan udara besar-besaran ke atas Iran

Iklan
Salah satu serangan paling ketara berlaku di Qom, apabila pesawat Israel mengenai sebuah bangunan kediaman. - Foto X/@TehranDefence.

TEHERAN – Tentera Udara Israel melancarkan gelombang serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran pada awal pagi Sabtu, termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera, dalam apa yang digambarkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai “serangan pembukaan yang berjaya”.

Menurut jurucakap tentera Israel, Brigedier Jeneral Effie Defrin, lebih 70 jet pejuang dikerahkan dalam operasi yang menyasarkan kawasan dari barat Iran sehingga ke Teheran.

Iklan
Iklan

“Kami telah mencipta kebebasan udara dari sempadan barat Iran hingga ke ibu negara. Teheran tidak lagi kebal,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung.

Antara serangan paling ketara berlaku di Qom, apabila pesawat Israel mengenai sebuah bangunan kediaman, menurut laporan media tempatan dan rakaman dari lokasi kejadian.

Iklan

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai jumlah kematian atau kecederaan, namun penduduk tempatan melaporkan beberapa kediaman musnah.

Serangan ini berlaku sebagai tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu dan dron oleh Iran ke atas Israel beberapa jam sebelumnya.

Iklan

Iran mendakwa serangan balas tersebut sebagai reaksi terhadap serangan Israel ke atas kemudahan ketenteraan dan awam di wilayahnya yang telah mengorbankan lebih 500 orang, termasuk pegawai kanan tentera dan saintis nuklear.

Netanyahu menyatakan bahawa serangan ini menyasarkan “jantung program senjata nuklear Iran” dan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam usaha menyingkirkan ancaman besar terhadap keselamatan nasional Israel.

Beliau turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan “selama mana yang diperlukan”.

Sementara itu, Iran berikrar akan membalas “tanpa had”, dan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan bahawa Israel “akan menerima hukuman yang berat”.

Jurucakap Angkatan Tentera Iran menyifatkan tindakan Israel sebagai “jenayah terancang” dan menggesa tindak balas menyeluruh daripada semua institusi pertahanan negara itu.

Ketegangan serantau terus meningkat dengan negara-negara seperti Turki dan Rusia menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang besar-besaran.

Kremlin turut memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar tidak campur tangan secara ketenteraan, khususnya melibatkan penggunaan senjata nuklear taktikal yang dikatakan mampu “menjerumuskan Asia Barat ke dalam jurang peperangan”. - Awani