TEL AVIV – Sebuah bangunan di pusat bandar Tel Aviv terbakar awal pagi Sabtu selepas terkena peluru berpandu dalam gelombang serangan terbaharu yang dilancarkan oleh Iran, menurut pihak berkuasa tempatan dan media Israel.
Pasukan penyelamat dan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian sekitar jam 1.20 pagi waktu tempatan selepas beberapa letupan kuat kedengaran di kawasan Gush Dan, termasuk Tel Aviv dan Ramat Gan.
Iklan
Iklan
Menurut perkhidmatan kecemasan Magen David Adom (MDA), seorang wanita disahkan maut di tempat kejadian, manakala beberapa mangsa lain dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. Dua anggota perubatan MDA turut cedera ringan apabila kenderaan mereka terkena serpihan kaca semasa menjalankan tugas.
Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan asap tebal membumbung dari bangunan yang hampir musnah sepenuhnya. Beberapa bangunan lain di Ramat Gan dan Holon turut dilaporkan mengalami kerosakan teruk akibat impak serangan.
Ketua Komando Barisan Hadapan Israel dalam satu kenyataan video menggesa orang awam agar terus mematuhi arahan keselamatan dan segera berlindung di tempat perlindungan apabila siren amaran dibunyikan.
“Bangunan ini hampir musnah sepenuhnya, namun jumlah kecederaan dapat diminimumkan kerana orang ramai mematuhi garis panduan keselamatan,” katanya.
Serangan ini berlaku dalam konteks pertukaran serangan udara antara Israel dan Iran sejak 13 Jun lalu, yang kini menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya konflik berskala besar di rantau Timur Tengah. - Awani