KUALA LUMPUR - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memperkenalkan inisiatif #Saff12Movement sebagai usaha membina kekuatan ummah melalui pendekatan berasaskan al-Quran yang lebih menyeluruh dan menyentuh pelbagai sektor kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, gerakan itu merupakan sebahagian daripada kempen Road to World #QuranConvention 2025 menjelang penganjuran konvensyen utama pada 6 dan 7 Disember ini.
Beliau berkata, pendekatan tahun ini memberi penekanan terhadap pelaksanaan dan tindakan, bukan sekadar menjadi pentas ceramah serta perkongsian ilmu.
“Kita tidak mahu World #QuranConvention hanya jadi tempat berkumpul dan bercakap. Sebaliknya, kita mahu lahirkan tindakan dan hasil yang membumikan al-Quran dalam masyarakat,” ujarnya.
Marhaini berkata demikian ketika ditemui pada program Reflections From Surah As-Saff for Working Professionals yang berlangsung di Student Lounge, Perpustakaan M Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini pada Jumaat.
Program berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu memberi tumpuan kepada pemahaman Surah As-Saff, surah ke-61 dalam al-Quran yang membawa mesej tentang perpaduan, pengorbanan dan kesetiaan dalam perjuangan menegakkan agama ALLAH SWT.
Turut hadir, Pengarah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Cawangan UIAM), Siti Aisyah Ibrahim mewakili penganjur dan Imam Pusat Kebudayaan Islam New York, Dr Zakir Ahmed yang menyampaikan syarahan kepada peserta terdiri daripada pelajar, bekas pelajar UIAM dan profesional Muslim pelbagai sektor.
Marhaini menjelaskan, program tersebut menjadi titik permulaan kepada gerakan Road to World #QuranConvention dengan matlamat melahirkan projek-projek nyata dalam sektor strategik yang memberi kesan langsung kepada masyarakat.
Beliau memaklumkan, #Saff12Movement merangkumi 12 wilayah strategik yang diambil daripada inspirasi Surah As-Saff, yang menggambarkan batu-batu tersusun membentuk sebuah bangunan kukuh iaitu simbol kekuatan ummah yang bersatu padu.
Wilayah itu meliputi bidang kesihatan, pendidikan, kewangan Islam, keselamatan makanan, teknologi, pembangunan belia, seni dan media, pemerkasaan wanita, alam sekitar, ekonomi halal, pembangunan komuniti serta dasar awam.
Beliau berkata, segala inisiatif di bawah #Saff12Movement akan dipersembahkan semasa World #QuranConvention 2025 sebagai bukti bahawa al-Quran mampu membentuk tamadun apabila diterjemah dalam bentuk tindakan dan projek sebenar.
Sementara itu, Zakir dalam syarahannya menyeru golongan profesional Islam untuk terus mendalami mesej al-Quran sebagai panduan dalam membentuk jati diri, etika kerja dan kepimpinan berlandaskan nilai Islam.
“Surah As-Saff mengingatkan kita agar tidak tergolong dalam kalangan yang hanya berkata tetapi tidak melaksanakan apa yang dikata. Ia adalah satu bentuk hipokrasi yang ditegah dalam agama.
“Seorang Muslim profesional perlu menunjukkan keselarasan antara kata dan perbuatan serta mencerminkan nilai-nilai Islam dalam setiap tindakan, keputusan dan interaksi harian,” ujarnya.
Katanya, Surah As-Saff turut memberi inspirasi kepada warga kerja untuk menjadi agen perubahan di tempat kerja dan dalam masyarakat.