32 pasukan rebut kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari

Iklan
Emran (tengah, lapan dari kanan) dan Nasir (tengah, enam dari kiri) bersama para pegawai pasukan yang bertanding ketika sesi taklimat perlawanan di Dewan Auditorium Karangkraf. Foto: ROSLI TALIB
SEBANYAK 32 pasukan terbaik dari setiap daerah Selangor bakal berentap merebut kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) yang akan membuka tirainya hari ini.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, penganjuran pertandingan masih menggunakan format yang sama dengan menjadikan kejohanan bola sepak peringkat Majlis Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) sebagai platform memilih pasukan terbaik menyertai edisi kali ketiga ini.

Menurutnya, juara dari setiap 10 daerah pendidikan di Selangor secara automatik akan menyertai kejohanan ini selain tambahan pasukan bergantung kepada jumlah sekolah di setiap daerah.

"Sekiranya di setiap daerah mempunyai jumlah pasukan sekolah yang banyak maka kita akan memperuntukkan slot yang lebih kepada mereka berbanding daerah yang mempunyai sekolah yang sedikit seperti Sabak Bernam.

"Jadi untuk mendapatkan 32 pasukan terbaik ini hampir 6,000 pemain telah terlibat dalam sesi pertandingan di peringkat MSSD di setiap daerah,” katanya ketika ditemui selepas taklimat perlawanan di Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah

Mengulas lanjut, Emran berkata, edisi kali ini turut menjadi platform terbaik mengetengahkan bakat pemain ke peringkat lebih tinggi selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu melihat Selangor konsisten melahirkan pelapis berbakat di peringkat akar umbi.

Katanya, perlawanan akan dimulakan dengan saingan Piala Sumbangsih hari ini melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru bertemu SMK Dato' Harun, Tanjung Karang yang merupakan juara dan naib juara musim lalu.

"Saingan Piala Sumbangsih akan bermula pada jam 3 petang di padang SMK Seksyen 9, Shah Alam manakala perlawanan akhir kejohanan dijadualkan akan berlangsung di Stadium Mini MBSA, Paya Jaras pada jam 3 petang pada 12 April depan.

"Lapan pasukan yang mara ke suku akhir akan menerima satu set jersi yang disumbangkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang juga penaja utama kejohanan,” katanya.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dengan juara membawa pulang hadiah RM8,000, naib juara RM6,000, tempat ketiga RM4,000 manakala keempat menerima RM2,000.