KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) antara fokus utama yang akan diberi penekanan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memajukan pasukan dan memperkukuh usaha menangani jenayah, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata, tumpuan terhadap pemodenan teknologi perlu diberi perhatian agar pasukan polis terus bergerak ke hadapan seiring dengan cabaran keselamatan semasa.
“Dengan ruang dan peluang yang diberikan, saya akan membawa PDRM ke tahap yang lebih cemerlang selari dengan perubahan pemodenan pasukan, terutamanya melibatkan teknologi-teknologi terkini.
“Isu AI perlu diketengahkan supaya pasukan kita lebih maju pada masa akan datang serta dapat menangani semua permasalahan yang timbul, sama ada dalam bentuk jenayah atau ancaman lain kepada negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Paluan Berundur Ketua Polis Negara Ke-14 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut menyaksikan Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontrak pada 22 Jun ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata beliau akan meneruskan segala tindakan dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Razarudin sebelum ini.
“Saya percaya peluang dan ruang untuk saya mempertingkatkan keupayaan serta kredibiliti pasukan, terutama sekali dalam menangani isu jenayah rentas sempadan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui PDRM.
“Ia adalah satu tanggungjawab dan amanah kepada saya untuk bersama-sama dengan rakyat,” ujarnya.
Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selama dua tahun, berkuat kuasa dari 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027.
Pelantikan itu diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.