'Pelantikan KPN satu amanah, tanggungjawab' - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Serah Terima Tugas daripada bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain kepada KPN baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Pulapol Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pelantikan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai Ketua Polis Negara ke-15 sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar bagi memastikan keamanan serta keselamatan negara.

Saifuddin berkata, jawatan Ketua Polis Negara bukanlah satu anugerah sebaliknya merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh akauntabiliti.

Iklan
Iklan

“Tugas khalifah adalah untuk memakmurkan. Maka perlu ada tanggungjawab dan akauntabiliti.

“Justeru, kita meletakkan bahawa tugas dan amanah (yang dipikul oleh Mohd Khalid) sebagai Ketua Polis Negara datang dengan tanggungjawab, bukannya anugerah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Majlis itu menyaksikan Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontraknya pada 22 Jun.

Pelantikan Mohd Khalid secara kontrak selama dua tahun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Iklan

Mohd Khalid, 60, dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak, dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 April 1987 sebelum memulakan tugas di Cawangan Khas, Bukit Aman.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjawat jawatan utama termasuk Timbalan Pengarah Cawangan Khas I sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023.