Perpustakaan Digital ASEAN jadi jambatan ilmu serantau – Aaron

Iklan
Anwar dan Aaron merasmikan gimik pelancaran Persidangan Dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara Ke-19 ( Consal XIX): di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Perpustakaan Digital ASEAN atau ASEAN Digital Library (ADL) perlu diperkasa sebagai jambatan ilmu antara negara-negara rantau ini dalam usaha membina masyarakat serantau yang inklusif, berbudaya dan berdaya saing. 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ADL merupakan inisiatif serantau yang menghimpunkan metadata daripada perpustakaan kebangsaan negara anggota ASEAN dan kini membolehkan akses rentas sempadan kepada puluhan ribu bahan digital termasuk manuskrip langka, buku, artifak budaya, akhbar serta dokumen sejarah.

Iklan
Iklan

“Perpustakaan Digital ASEAN bukan sekadar arkib digital. Ia harus menjadi jambatan hidup kepada warisan ilmu, menghubungkan rakyat, sejarah dan masa depan ASEAN.

“Saya menyeru semua negara anggota ASEAN agar mempercepatkan penyertaan dan sumbangan mereka kepada ADL kerana pemilikan ilmu secara kolektif merupakan asas penting dalam membina sebuah masyarakat serantau yang kukuh dan bersatu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Pustakawan Asia Tenggara Ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Selasa.

Turut hadir merasmikan kongres tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

Mengulas lanjut, Aaron mencadangkan agar negara anggota ASEAN melabur dalam pembangunan infrastruktur digital serantau, latihan pustakawan dan aktivis serta mewujudkan standard metadata yang serasi demi memudahkan integrasi koleksi negara masing-masing.

“Kita mesti berani mendigitalkan sistem pengetahuan asli dan bahasa tempatan supaya warisan ASEAN dapat dipelihara secara menyeluruh dalam bentuk digital,” katanya.

Beliau turut menekankan perlunya kerjasama erat antara negara-negara serantau melalui rangka kerja bersama yang menyokong perkongsian sumber, pembangunan alat digital serta pembiayaan perkhidmatan perpustakaan secara inklusif.

Anwar melawat ke reruai pameran selepas gimik pelancaran.

“Inklusiviti bukan sekadar soal akses, tetapi tentang pemerkasaan. Apabila kita melabur dalam sistem ilmu yang inklusif, kita sebenarnya melabur dalam maruah manusia, peluang saksama dan pembangunan mampan,” ujarnya.

Menurut Aaron, kemajuan sistem perpustakaan di Malaysia turut menjadi bukti kesungguhan negara dalam memperluas akses ilmu kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkasakan insiatif digital dan penyampaian perkhidmatan melalui u-Pustaka dan My Respositori.

“Menerusi inisiatif u-Pustaka, iaitu platform perpustakaan digital nasional yang menyediakan perkhidmatan pinjaman sumber fizikal dan digital secara percuma, boleh diakses 24 jam sehari menerusi www.u-pustaka.gov.my.

“u-Pustaka kini mempunyai keahlian 1,066,754 ahli (sehingga Mei 2025), menawarkan lebih daripada sejuta naskhah bahan bacaan digital dan carian katalog sekitar 2.9 juta bahan fizikal di 155 perpustakaan yang menyertai Katalog Induk Kebangsaan (KIK) yang merupakan backbone kepada u-Pustaka. 

“KIK membolehkan pengguna meminjam buku fizikal dari 12 perpustakaan konsortium, mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, buku audio, majalah, jurnal, akhbar, pangkalan data dan penerbitan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Aaron berkata, melalui My Respositori, sehingga Mei 2025 sebanyak 57,268 judul yang terdiri dari Koleksi Negara, Koleksi Nadir, Koleksi Manuskrip Melayu dan Koleksi Surat Khabar telah dimuatnaik ke dalam sistem itu.

“Pendigitan pada tahun 2025 memberi tumpuan kepada koleksi manuskrip Melayu dan Koleksi Negara sebanyak 716 judul dan 71,600 muka surat.

“Perpustakaan hari ini bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku tetapi lambang keadilan ilmu, pintu akses digital, penjaga warisan budaya dan pusat pembelajaran sepanjang hayat untuk semua,” jelasnya.

Beliau berkata, program Perpustakaan Desa pula melibatkan lebih 500 lokasi di seluruh negara juga terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu ke kawasan luar bandar melalui bahan bacaan fizikal, kios digital dan aktiviti komuniti setempat.

CONSAL XIX yang berlangsung dari 16 hingga 19 Jun 2025 menghimpunkan seramai 1,200 peserta dari seluruh Asia Tenggara dan negara luar dengan pembentangan 89 kertas kerja.

Bertemakan  ‘Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan’, ia menjadi platform penting memperkukuh jaringan profesional perpustakaan, serta mencorak halatuju baharu dalam pengurusan maklumat dan perkongsian ilmu serantau.

REAKSI

SOH LIN LI

“Kami kini membangunkan prototaip berasaskan AI generatif seperti ‘ChatBook’ yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan kandungan buku dalam bentuk video atau temu bual.” -Pengarah Kumpulan Strategi Perpustakaan Singapura, Soh Lin Li

MARK EDZEL

“CONSAL XIX dijadikan sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan dan membina kerjasama dalam bidang akademik serta digitalisasi perpustakaan.”-Ketua Pustakawan Universiti Lyceum, Filipina, Mark Edzel R. Gonzales

RATANA

“Kami mempelajari banyak idea dan amalan terbaik daripada perpustakaan di rantau ini, terutama Malaysia dan Singapura.”- Pustakawan Rujukan Kemboja, Ratana Sath

ARIF

“Perpustakaan kami telah mencapai tahap pendigitalan sebanyak 90 peratus bagi keseluruhan koleksi bahan rujukan dan akademik manakala selebihnya diperuntukkan untuk pembelian bahan bercetak setiap tahun.”- Ketua Perpustakaan dan Arkib Universiti  Gadjah Mada (UGM), Indonesia, Arif Surachman

RESOLUSI CONSAL XIX

Diterima pakai dalam Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19

1. CONSAL XIX dengan tegas mengulangi komitmen teguh para pustakawan serantau untuk merevolusikan perpustakaan daripada institusi penyimpanan ilmu tradisional kepada ruang dinamik dan inklusif yang menjunjung kesaksamaan, memperjuangkan akses sejagat serta meraikan kepelbagaian masyarakat.

2. CONSAL XIX beriltizam penuh untuk menerajui transformasi dengan menggalakkan perkhidmatan yang bebas halangan dan mudah diakses, memanfaatkan teknologi terkini serta menyusun koleksi mencerminkan kepelbagaian suara masyarakat.

3. CONSAL XIX menyeru kepada pembinaan ekosistem ilmu yang inklusif di mana golongan kurang upaya dan komuniti terpinggir bukan sahaja diterima, malah diberdayakan, melalui persekitaran yang adaptif serta akses saksama kepada pembelajaran sepanjang hayat dan maklumat.

4. CONSAL XIX menyeru pemerkasaan penyelidikan pascasiswazah dan institusi dalam bidang sains perpustakaan dan maklumat yang berupaya merangsang inovasi, memacu amalan terbaik serta membentuk barisan profesional perpustakaan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.