KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berdiri sendiri di bawah satu kementerian khusus selepas dilihat menjadi agensi ketiga terbesar bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas sektor kesihatan dan pendidikan.
Perkara itu disampaikan oleh Tan Sri Razarudin Husain ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Razarudin berkata, umum mengetahui bahawa ketiga-tiga sektor ini – kesihatan, pendidikan dan keselamatan – masing-masing hanya menaungi satu agensi tunggal di bawah satu kementerian.
“Untuk itu, kami percaya keupayaan pasukan akan menjadi lebih utuh sekiranya diletakkan di bawah satu kementerian khusus.
“Kertas cadangan telah pun diangkat kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk pertimbangan. Cadangan ini merujuk kepada penanda aras (benchmark) agensi kepolisan antarabangsa seperti China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei yang turut diletakkan di bawah satu kementerian khusus.
“Besar harapan saya bersama barisan kepimpinan tertinggi pasukan agar cadangan ini dapat direalisasikan,” katanya.
Tambah Razarudin, beliau optimis bahawa resolusi tersebut akan membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan awam demi kemaslahatan bersama.
Dalam majlis tersebut, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 menggantikan Razarudin.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.