LANGKAWI – Seorang lelaki yang nekad merompak sebuah kedai emas menggunakan parang dan serbuk cili di Jalan Pandak Mayah, Kuah, di sini pada Khamis direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Langkawi bermula Jumaat hingga 26 Jun ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana menganggur dan mempunyai hutang yang banyak.
“Barang kemas yang dilarikan diperoleh semula hasil bantuan orang awam yang membantu setelah barang kemas tersebut jatuh di hadapan kedai semasa suspek hendak melarikan diri, selain yang dirampas daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Shariman berkata, suspek yang telah berkahwin itu mempunyai empat anak berusia antara lima hingga 16 tahun.
Pada Khamis, suspek yang bersenjatakan parang dan membawa serbuk cili bertindak merompak sebuah kedai emas dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.48 pagi.
Suspek bagaimanapun berjaya diberkas polis berhampiran tempat kejadian tidak lama kemudian.
Ketika kejadian, premis berkenaan dikendalikan seorang lelaki dan pembantu wanita masing-masing berusia 69 dan 60 tahun.
"Sebaik memasuki premis, suspek yang memakai penutup muka mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai, sebelum memecahkan cermin pameran menggunakan parang dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM50,000.
“Bagaimanapun, tindakan pantas pemilik kedai dan orang awam yang mengejar suspek membuahkan hasil apabila suspek diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian oleh pasukan polis yang sedang meronda,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.