KUANTAN - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan yang difailkan Hasbullah Ali Alias, 48, serta mengekalkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM25,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 2023.
Dalam prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz memohon kepada mahkamah itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu permohonan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Mohd Radzi membenarkan permohonan tersebut namun, tertuduh yang kini digantung tugas perlu memohon rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.
Sekiranya gagal berbuat demikian, jaminan sebanyak RM15,000 akan dibatalkan dan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara yang ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir.
Hasbullah yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM.
Dia kemudian didapati bersalah atas tuduhan meminta suapan sebanyak RM5,000 daripada pengadu sebagai balasan kononnya wang tersebut akan diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya hukuman yang dikenakan ke atas seorang lelaki atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya tidak dirayu.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 7.45 petang di sebuah restoran di Jalan Beserah di sini pada Mei 2018.