'Alhamdulillah, Bossku dapat DNAA untuk SRC2.0' - Yana Najib

Iklan
Nooryana Najwa luah rasa syukur selepas bapanya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes SRC RM27 juta.

SHAH ALAM - Anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa menzahirkan kesyukuran susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) bapanya atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

"Alhamdulillah, Bossku dapat DNAA untuk SRC2.0. 'One down'," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Selain Yana, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh turut berkongsi perkara sama di laman sosial masing-masing.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Iklan

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.