Pengawal keselamatan maut, rakan cedera kereta terbabas

Iklan
Keadaan kenderaan Perodua Axia rosak teruk di bahagian depan selepas terbabas di KM 191.2 LPT menghala ke Kuantan. Foto Polis Trafik Kuantan

KUANTAN – Seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 191.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, mangsa yang maut, Mohamad Fitri Yamani Zaki Yamani, 24, berasal dari Felda Bukit Mendi, Triang, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Rakannya, Muhammad Rizqi Akasyah Abdullah, 18, yang berada di tempat duduk penumpang pula mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Iklan

“Ketika kejadian, kenderaan dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke Kuantan, dipercayai menuju ke tempat kerja mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan semasa melalui laluan lurus di lorong kiri sebelum terbabas,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat manakala kenderaan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.