PUTRAJAYA - Kerajaan menjelaskan keputusan untuk tidak melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini dibuat kerana mengambil kira tahap pendapatan rakyat yang masih berada pada paras rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun GST diakui sebagai sistem percukaian yang lebih efisien dan telus, kerajaan berpandangan bahawa pelaksanaannya boleh memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah sekiranya dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat yang belum bersedia.
"GST itu adalah sistem percukaian antara yang efisien dan telus tetapi terpaksa kita tangguhkan kerana dasar pendapatan rakyat itu terlalu rendah.
“Orang yang pendapatan RM2,000, walaupun kita bagi beberapa pengecualian, tetapi banyak yang terkena (cukai). Memang beli gula, beras tak kena cukai, namun dia pergi beli barang lain, naik bas, semua itu secara tidak langsung kena cukai GST.
“GST itu menyeluruh, telus (memang) senang pelaksanaannya, tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin masa itu kita kata boleh. Sekarang Ini orang masih ada gaji RM1,700 atau RM2,000 pun ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, walaupun terdapat cadangan untuk memperkenalkan semula GST dengan kaedah yang lebih sesuai, beliau tetap berpendirian bahawa keutamaan kerajaan ialah memastikan kesejahteraan rakyat.
"Itu pun tak apalah kita periksa, tapi janganlah kutuk kita dari segi pelaksanaan," jelas Anwar.
GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun ia dibatalkan pada 8 Ogos 2028 selepas Dewan Rakyat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.
Pemansuhan GST dibuat memandangkan ia sebahagian manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) jika memenangi PRU14 yang lalu.
Dalam pada itu, Anwar berkata penambahbaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai depa dilaksanakan secara progresif dan bersasar.
Menurut beliau, kadar SST tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas rakyat.
Tegasnya lagi, pelaksanaan percukaian adalah bagi memastikan hasil negara dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi peruntukan besar seperti dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
“Ambil contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pada 2023 sebanyak RM8 bilion disalurkan, kini mencecah RM13 bilion untuk manfaat sembilan juta rakyat.
"Begitu juga pendidikan, kita tambah kepada RM64 bilion untuk sekolah anak-anak kita.
“Kementerian Kesihatan juga terima peningkatan RM4 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM45 bilion. Ini bukti cukai yang diambil, kita pulangkan semula kepada rakyat dengan cara paling berfaedah,” katanya.
Pada perkembangan berkaitan, Anwar mengarahkan semua jabatan agar tidak lagi menggunakan buah-buahan import dan menukarnya ke buah-buahan tempatan dalam jamuan rasmi.
"Saya sudah arahkan jabatan tidak lagi gunakan makanan import. Dalam lawatan saya di luar negara seperti Loas, Kemboja dan Thailand, mereka tidak hidang makanan import.
"Kalau nak makan ikan kod, beli sendiri. Orang mungkin geli tetapi saya suka ikan keli.
"Kita bantu petani, tingkatkan hasil dan pendapatan," katanya.