GEORGE TOWN – Seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM794,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman, dikatakan mula berhubung dengan sindiket berkenaan selepas melihat iklan pelaburan menerusi aplikasi Facebook kira-kira pada awal April lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa kemudian berhubung dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum diminta memuat turun aplikasi pelaburan dan mendaftar sebagai ahli.
“Skim itu menjanjikan pulangan sebanyak 100 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat.
“Mangsa tertarik dan bersetuju untuk melabur,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, antara 11 April hingga 3 Jun lalu, mangsa telah melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza milik beberapa syarikat dengan jumlah keseluruhan RM794,000.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila cuba mengeluarkan ‘keuntungan’ berjumlah RM2 juta, namun diminta membayar cukai pengeluaran sebanyak RM200,000 terlebih dahulu.
“Merasa curiga, mangsa enggan membuat bayaran dan tampil membuat laporan polis pada 16 Jun lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Hamzah menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa, terutamanya melalui media sosial.
“Orang awam juga disaran membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
“Portal Semak Sebelum Lebur juga boleh dijadikan rujukan bagi memastikan entiti atau individu terbabit mendapat kebenaran daripada agensi berkaitan,” katanya.
Tambahnya, masyarakat turut diminta memainkan peranan menyebarkan maklumat berkaitan modus operandi terkini penipuan dalam talian bagi mencegah lebih ramai menjadi mangsa.