Jemaah haji Malaysia berisiko hilang keistimewaan jika langgar peraturan - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im beramah mesra dengan penerima sumbangan pada majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP pada Khamis. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Malaysia berisiko kehilangan dua keistimewaan utama yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji negara ini sekiranya segelintir individu terus melanggar peraturan dengan menyertai haji secara persendirian (DIY) tanpa melalui saluran sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, tindakan 47 jemaah warga emas yang ditahan baru-baru ini kerana menunaikan ibadah haji tanpa permit sah boleh mencalarkan imej jemaah Malaysia yang selama ini dikenali sebagai paling berdisiplin.

Iklan
Iklan

"Kita ada dua keistimewaan besar daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi iaitu pertama ialah kemudahan Tariq Makkah yang membolehkan jemaah Malaysia terus ke Madinah atau Makkah tanpa melalui pemeriksaan imigresen di Jeddah.

"Keduanya ialah kad masuk khas yang membolehkan jemaah Malaysia memasuki kawasan Masjidil Haram, Arafah dan lokasi-lokasi penting ibadah haji," katanya.

Iklan

Mohd Na'im menjelaskan, kad masuk khas itu biasanya hanya diberikan selepas ketibaan di Arab Saudi, tetapi Malaysia dapatkannya lebih awal.

Menurut beliau, keistimewaan itu tidak diberi sewenang-wenangnya kepada semua negara, sebaliknya berdasarkan reputasi jemaah negara ini yang sentiasa mematuhi peraturan.

Iklan

"Namun, tindakan sebahagian kecil individu yang cuba mengelak proses rasmi berpotensi menyebabkan seluruh jemaah Malaysia dihukum kerajaan Arab Saudi.

“Saya kena ingatkan, jangan sampai kerana perbuatan kita, seluruh jemaah Malaysia dihukum.

"Ini bukan soal kecil. Kita bimbang kerajaan Arab Saudi boleh tarik balik kemudahan tersebut bila-bila masa,” tambah beliau.

Mohd Na’im berkata, dalam kes terbaharu, 47 jemaah warga emas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang menawarkan ibadah haji DIY dengan janji palsu.

“Setakat maklumat yang saya terima, mereka tidak dikenakan denda besar atau disenarai hitam, cuma diberi amaran dan dilepaskan atas budi bicara pihak berkuasa Arab Saudi," jelas beliau.

Beliau turut mencadangkan 47 jemaah terbabit tampil berkongsi pengalaman pahit mereka agar menjadi pengajaran kepada orang ramai.

“Mereka ini boleh menceritakan bagaimana kena tahan, jalan kaki meredah padang pasir, duit habis dan haji pun tak dapat.

"Kita harap kisah mereka jadi pengajaran supaya orang lain tak ulangi kesilapan sama,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, seorang pemilik sebuah madrasah ditahan selepas dipercayai berperanan untuk meraih kepercayaan 47 jemaah warga emas yang terpedaya tawaran menunaikan ibadah haji DIY tanpa melalui saluran sah.

Individu itu antara dua lelaki ditahan pihak polis bagi bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut, baru-baru ini.