KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin.
Jurulatih kelahiran Mexico berusia 40 tahun itu berkata, PDRM membuat gerakan berbahaya terutamanya ketika serangan balas sehingga memaksa JDT terpaksa bekerja keras untuk menggagalkan percubaan daripada The Cops.
"Beberapa pemain baharu masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan kami seperti Liridon Krasniqi dan Natxo Insa selain (Muhammad) Fadhli Shas yang tidak bermain dalam perlawanan kompetitif agak lama tetapi ini bukan satu alasan untuk saya.
"PDRM mempamerkan persembahan yang baik dan cuba mengganggu corak permainan kami. Kami cuba memecahkan kebuntuan, namun saya gembira dengan tiga mata yang diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Mora memberitahu, pemain sayap yang juga tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid tidak diturunkan pada perlawanan tersebut ekoran mengalami masalah kecederaan.
"Mengenai Safawi, kami masih belum tahu. Mungkin dalam jangka masa dua minggu atau seminggu setengah dia boleh diturunkan. Kami masih memeriksa kecederaan yang dialaminya.
"Namun, Safawi adalah seorang yang sentiasa sedia untuk beraksi. Dia berazam untuk segera pulih daripada kecederaan dan kami akan menjaga dia. Apabila kembali nanti, Safawi sudah lebih bersedia,” ujarnya.
Tampil buat kali pertama dalam saingan liga di gelanggang lawan musim ini, skuad Harimau Selatan mengesahkan tiga mata menjadi milik mereka selepas Diogo Luis Santo menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-84.