TEHRAN - Polis Iran menahan seramai 18 individu di Mashhad kerana disyaki menjalankan bengkel rahsia pembuatan dron intipan dan serangan bunuh diri bagi pihak rejim Israel.
Penahanan itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan pihak berkuasa Tehran bagi membanteras rangkaian pengintipan dan sabotaj yang didakwa dikendalikan agensi perisikan Israel, Mossad.
Dalam insiden berasingan beberapa hari lalu, pihak berkuasa di wilayah Isfahan turut menahan empat suspek selepas menemui sebuah fasiliti pengeluaran dron, lengkap dengan pelbagai peralatan dan alat ganti berskala besar.
Sementara itu di wilayah Qazvin, lima individu lain turut diberkas atas dakwaan mencetuskan huru-hara serta menyokong tindakan ketenteraan Israel.
Menurut laporan portal berita Iran, Al Mayadeen, sekumpulan ejen lain turut ditahan di Lorestan, barat Iran, selepas didakwa terlibat dalam memfasilitasi pencerobohan Israel.
Siri penahanan terbaru ini hadir ketika operasi balas risikan Iran semakin dipertingkatkan, susulan peningkatan aktiviti jaringan Mossad di dalam negara itu.
Fokus utama adalah terhadap kumpulan sabotaj yang dikaitkan dengan teknologi dron dan sistem peluru berpandu berpandu automatik.
Awal bulan ini, media Israel dan beberapa laporan yang dikaitkan dengan agensi risikan mendedahkan kewujudan pangkalan rahsia Mossad di sekitar Tehran.
Operasi itu dilaporkan menggunakan dron meletup dan peluru berpandu anti-kereta kebal automatik (ATGM) bagi menyerang sistem pertahanan udara dan pusat komando Iran - yang dipercayai membuka laluan kepada serangan udara pertama Israel pada 13 Jun lalu. - Awani