BANGI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sekurang-kurangnya satu Taman Bimbingan Kanak-Kanak Khas (Tabika) atau dikenali sebagai Tabika Tunas Istimewa@KEMAS diwujudkan di setiap daerah menjelang tahun 2027.
Berucap dalam majlis sambutan Hari Pendidik KEMAS, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan anak-anak berkeperluan khas tidak tercicir daripada mendapat pendidikan awal.
Menurutnya, inisiatif itu akan dimulakan dengan pengoperasian tiga Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di Melaka pada tahun ini sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke setiap negeri bermula tahun depan.
"Insya-ALLAH, menjelang tahun 2027, kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu tabika khas ini diwujudkan di setiap daerah seluruh negara," katanya pada Khamis.
Tambah beliau, kerajaan berusaha memastikan semua anak Malaysia mendapat akses pendidikan awal tanpa mengira latar belakang atau kekurangan.
"Insya-ALLAH, kita akan cuba pastikan tiada anak Malaysia yang tercicir daripada akses kepada pendidikan awal walaupun dalam keadaan serba kekurangan," ujarnya.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa usaha ini bukan kesinambungan biasa, sebaliknya satu anjakan besar yang dituntut oleh zaman dan diharapkan oleh ibu bapa.
"Apa yang sedang kita lakukan ini bukan perkara biasa. Ia bukan kesinambungan semata-mata – ia adalah satu anjakan.
"Dan inilah anjakan yang dituntut oleh zaman, dimahukan oleh ibu bapa," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan KEMAS perlu dilihat sebagai teras penting dalam membina generasi masa hadapan yang holistik, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran.
“Pendidikan yang dilaksanakan oleh KEMAS tidak lagi boleh dilihat sebagai pelengkap. Ia mesti menjadi wahana utama dalam membina insan yang holistik, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," tegasnya.
Setakat ini, KEMAS mengendalikan lebih 10,567 Tabika dan 577 Taska di seluruh negara, menyantuni seramai 221,012 pelajar kecil daripada pelbagai latar belakang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa seramai 61,032 huffaz cilik telah dilahirkan menerusi Program Pra-Tahfiz Tabika KEMAS.
Menurutnya, program yang bermula dengan hanya 100 Tabika pada tahun 2023 kini berkembang pesat.
“Pelaksanaan Program Pra-Tahfiz KEMAS adalah salah satu kejayaan yang saya anggap sebagai 'game changer' dalam sistem pendidikan awal negara.
"Menjelang tahun 2026, kita menyasarkan lebih 9,700 Tabika KEMAS akan terlibat, dengan penglibatan lebih 145,000 huffaz cilik – melepasi sasaran 140,000 yang telah ditetapkan.
"Ini bukan satu pencapaian kecil, tetapi hasil iltizam dan komitmen seluruh warga KEMAS yang turut disokong melalui pelaksanaan kursus hafazan, program Training of Trainers (ToT) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta modul Thalatha Tis‘ā yang kini telah dimulakan seawal usia tiga tahun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi jaminan bahawa isu gaji tenaga pengajar KEMAS akan diberi perhatian dan dikaji semula bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Menurutnya, perkara itu bukan sahaja melibatkan semakan semula tangga gaji, malah status pekerja kontrak serta peluang pekerjaan bagi pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya berpendapat adalah munasabah untuk perkara ini dilihat semula,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.