PELAKON dan pengacara popular, Fizo Omar sekali lagi menerima anugerah terindah dalam hidup apabila isterinya, Fazeera Nazri selamat melahirkan cahaya mata keempat yang merupakan anak lelaki pertama mereka pada Selasa.
Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Fizo, atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 40, menerusi Instagram. Beliau memaklumkan bahawa proses kelahiran berlangsung secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di Bangi.
“Alhamdulillah, semalam jam 5.19 petang, 17 Jun 2025, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.52 kilogram. Syukur semuanya dipermudahkan,” tulisnya.
Yang paling menyentuh hati, Fizo turut mendedahkan momen luar biasa apabila sekali lagi diberi kepercayaan oleh doktor untuk menyambut sendiri kelahiran anaknya.
“Saat saya menarik sendiri bayi keluar dari rahim ibu, Masya-ALLAH... satu perasaan yang amat sukar saya gambarkan. Bercampur baur rasa bangga, sebak, hiba dan teruja menyaksikan zuriat sendiri lahir ke dunia,” luah Fizo penuh syukur.
Menerusi perkahwinannya bersama Fazeera, pasangan ini kini dikurniakan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki, menambah seri dalam rumah tangga mereka. Fizo turut mempunyai seorang lagi anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu.
“Rezeki daripada ALLAH. Empat anak, tiga puteri dan kini seorang putera. Setiap daripada mereka datang bersama rezeki masing-masing dan kebahagiaan yang melimpah ruah,” coretnya.
Dalam masa sama, Fizo turut menzahirkan penghargaan kepada isterinya yang disifatkan sebagai wanita hebat kerana mampu menggalas peranan sebagai ibu dan isteri dengan cemerlang, meskipun sedang hamil dan masih menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Terima kasih kepada isteri tercinta yang banyak berkorban menjaga anak-anak dalam keadaan sarat mengandung sambil meneruskan pelajaran. Saya sangat bangga dengan kekuatan dan ketabahannya,” tambahnya.
Sebagai makluman, Fizo dan Fazeera telah diijabkabulkan pada Oktober 2021. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan iaitu Wan Khaleeda, 4, dan Wan Umaira, 2.
Selain itu, Fizo turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Wan Maryam, 8, daripada perkahwinan pertamanya bersama usahawan Mawar Karim.