JEMPOL – [DIKEMAS KINI] Hasrat seorang bapa untuk menyambut ulang tahun pertama anak perempuannya bulan depan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.58 malam itu, motosikal yang ditunggang mangsa, Muhammad Zulhaidi Iqhwan Abdullah, 26, bertembung dengan sebuah motosikal lain yang hilang kawalan selepas dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah–Simpang Pertang itu turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal warga Pakistan, Sher Zamin Khan, 44, yang disahkan maut di lokasi kejadian.
Menurut isteri mangsa, Syafiqah Sezali, 29, meskipun arwah suaminya tidak sempat meraikan ulang tahun anak tunggal mereka, Zuhayra Elvina, yang bakal genap setahun bulan depan, arwah sempat membelikan baju raya untuk puteri mereka.
“Ahad lalu kami balik kampung. Sempat singgah di Mydin beli baju raya anak untuk dipakai tahun depan.
“Itulah hadiah terakhir daripada arwah. Tapi dia tak sempat pun nak sambut hari jadi anak kami. Saya rasa sangat terkilan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Kikir, pada Rabu.
Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan St. Aidan, Bahau, maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dalam keadaan hujan lebat.
“Dia sempat maklumkan kepada saya yang dia berhenti berteduh sekejap sebab hujan. Saya kata tak apa, tunggu hujan reda baru balik.
“Tapi bila saya telefon semula, dia dah tak jawab. Saya cuba hubungi beberapa kali, sampai jam 9 malam polis yang jawab dan beritahu suami saya kemalangan,” katanya.
Syafiqah berkata, sebaik menerima berita itu, dia segera ke lokasi kejadian yang hanya kira-kira dua minit dari rumah mereka.
“Masa saya sampai, arwah masih berada dalam longkang. Polis tak benarkan jasadnya diangkat. Hampir dua jam dia berada di situ sebelum dibawa naik,” katanya sebak.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2023 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
“Waktu kami balik kampung Ahad lepas, arwah minta saya ambil gambar dia banyak-banyak. Rupa-rupanya itu kenangan terakhir. Dia tak sempat pun tengok anak pakai baju yang dia belikan,” katanya.
Katanya lagi, selepas pemergian suaminya, barulah dia menyedari perubahan pada diri arwah, termasuk hantaran media sosial berkaitan kematian.
“Saya jarang buka TikTok. Lepas arwah pergi, bila saya buka telefon dia, baru saya nampak semua hantaran sejak April semuanya tentang kematian.
“Dia juga pernah cakap, ‘Kalau saya dah tak ada nanti...’ Tapi saya marah dia. Saya kata jangan cakap macam tu. Rupanya itu semua petanda, tapi saya tak sedar,” luahnya.
Tambahnya, arwah seorang yang penyayang, peramah dan baik hati.
“Apa saja yang dia nak buat, dia akan beritahu saya dulu. Kami ke mana-mana pun bersama. Dia sangat mesra dan kaya dengan senyuman. Dengan sesiapa pun dia baik,” katanya.
Menurut Syafiqah, pada hari kejadian, dia sempat menghantar bekal makanan kepada suaminya sekitar jam 3 petang.
“Itu kali terakhir saya bersalam dengan dia. Kali terakhir juga dia jumpa anak. Tapi masa tu dia cuma pandang kami lama-lama... tak peluk pun. Bual macam biasa, saya tak sangka itu kali terakhir.
“Panggilan terakhir kami sekitar jam 8.15 malam melalui video call. Dia maklumkan sedang berteduh. Dia kata, ‘Tunggu B balik...’ Tapi yang pulang hanya jasad,” katanya dalam nada sebak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zohor, selesai proses bedah siasat kira-kira jam 12 tengah hari.